Berita Harian (BH) telah membuat laporan polis berkenaan video deepfake – teknologi pemalsuan mendalam memaparkan podcast BH yang kononnya mempromosikan skim penipuan ‘wang ajaib’.

Video berkenaan dipercayai dihasilkan dengan memanipulasi rakaman daripada podcast NoTapis BH sehingga kelihatan seperti terbitan rasmi BH.

Selain itu, BH mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga akaun palsu Facebook yang menyamar sebagai hos dan penerbit podcast BH, Cik Natasha Mustafa, serta menggunakan jenama BH untuk mengelirukan pengguna.

Akaun berkenaan turut menggunakan nama, gambar profil, serta petikan video pendek daripada NoTapis untuk mempromosikan skim ‘wang ajaib’ yang dikaitkan dengan individu bernama ‘Habib Sheikh’.

Antara kandungan yang dimuat naik dalam akaun tersebut ialah petikan video podcast yang kononnya memaparkan hos dan beberapa tetamu jemputan NoTapis.

Rakaman asal itu kemudian disunting menggunakan deepfake, dengan pergerakan mulut dan kandungan percakapan diubah bagi memberi gambaran seolah-olah mereka mempromosikan skim berkenaan.

Editor BH, Encik Mohd Nazry Mokhtar, menasihatkan orang ramai supaya tidak berinteraksi dengan halaman palsu berkenaan, tidak berkongsi kandungannya atau membalas sebarang mesej yang dihantar.

“Kami ingin menarik perhatian pembaca dan orang ramai mengenai akaun palsu Facebook yang secara tidak sah menggunakan foto Penerbit Podcast BH, Cik Natasha Mustafa, serta logo rasmi Berita Harian.

“Akaun ini juga telah menyebarkan satu video ‘deepfake’ yang memanipulasi klip tulen Berita Harian untuk mengelirukan penonton.

“Kami menggesa orang ramai agar tidak berinteraksi dengan halaman ini, berkongsi kandungannya, mahupun membalas sebarang mesej yang dihantar.

“Kami telah melaporkan akaun ini kepada platform berkenaan dan pihak berkuasa,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Berita Harian di laman berikut.

Facebook: https://www.facebook.com/BeritaHarianSG

Instagram: https://www.instagram.com/beritahariansg/

TikTok: https://www.tiktok.com/@beritahariansg

YouTube: https://www.youtube.com/@BeritaHarianSG1957

WhatsApp: https://whatsapp.com/channel/0029VagjN4JEQIag4n8Rx33v

Telegram: https://t.me/bhsingapura

Orang ramai juga boleh melayari laman web BH di www.beritaharian.sg untuk membaca kandungan akhbar ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes melibatkan kandungan ‘deepfake’ yang secara palsu memaparkan tokoh awam seperti pemimpin negara.

‘Deepfake’ ialah kandungan imej, video atau audio yang dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Teknologi AI kini memudahkan penipu menghasilkan video palsu yang meyakinkan, suara tiruan serta penyamaran tokoh awam yang sukar dibezakan daripada yang sebenar.

Polis Antarabangsa (Interpol), yang berpangkalan di Perancis, turut melaporkan peningkatan mendadak jenayah siber menggunakan teknologi ‘deepfake’ dan AI dalam satu laporan yang diterbitkan pada Jun 2026.

Menurut perangkaan Pasukan Polis Singapura (SPF), sebanyak 37,308 kes penipuan dilaporkan pada 2025, dengan jumlah kerugian mangsa mencecah $913.1 juta.