Topik diikuti
Pergi ke BHku8 kawasan Johor catat IPU tidak sihat, peperiksaan dilaksana ikut SOP ketat
8 kawasan Johor catat IPU tidak sihat, peperiksaan dilaksana ikut SOP ketat
Lapan kawasan di Johor mencatat Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat sehingga 2 petang pada 15 Oktober, dengan Batu Pahat dan Larkin merekodkan bacaan tertinggi di negeri itu, masing-masing 183.
Pasir Gudang menyusul dengan bacaan 182, diikuti Tangkak (179), Kluang (166), Pengerang (164), Segamat (163) dan Kota Tinggi (157).
Di seluruh Malaysia, sebanyak 35 stesen pemantauan merekodkan udara tidak sihat. Klang di Selangor mencatat bacaan tertinggi, iaitu 194, diikuti Johan Setia (192) dan Nilai di Negeri Sembilan (191).
Seremban, Batu Pahat dan Larkin masing-masing mencatat bacaan 183.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memutuskan bahawa semua peperiksaan dan pentaksiran akan dilaksanakan dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), tertakluk kepada arahan semasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 14 Oktober bagi membincangkan Pelan Tindakan Bencana Jerebu.
“Mesyuarat bersetuju bahawa semua peperiksaan dan pentaksiran akan dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat,” ujar kenyataan JPBN Johor bertarikh 14 Oktober.
Pelaksanaannya berlandaskan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bilangan 1 Tahun 2005 mengenai Persediaan Menghadapi Jerebu yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan, atau Operasi Topeng, selain mengambil kira ketetapan semasa KPM.
Menurut JPBN Johor, SOP pengurusan bencana jerebu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama agensi berkaitan telah disediakan berdasarkan garis panduan dan arahan kementerian yang berkuat kuasa.
“Penyediaan SOP ini bertujuan memastikan warga pendidikan, ibu bapa dan penjaga memahami tatacara yang ditetapkan serta bersedia menghadapi pengoperasian semula institusi pendidikan apabila keadaan mengizinkan,” menurut kenyataan itu.
JPBN Johor turut memaklumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar Johor dan Jabatan Meteorologi Malaysia Johor akan terus memantau IPU, keadaan cuaca serta tiupan angin yang membawa asap jerebu ke ruang udara negeri itu.
Perkembangan terkini akan dilaporkan dari semasa ke semasa, manakala tindakan menangani jerebu perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihati masyarakat supaya mengurangkan kegiatan fizikal lasak di luar rumah, khususnya ketika udara berada pada tahap tidak sihat.
Nasihat itu terutama ditujukan kepada kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau penyakit pernafasan kronik.
Masyarakat disaran berada di dalam rumah atau bangunan apabila boleh, mengehadkan tempoh di luar serta memakai pelitup muka yang sesuai apabila perlu keluar.
Jabatan itu turut menasihati orang ramai supaya mengurangkan pencemaran udara dalaman seperti asap rokok, minum air kosong secukupnya dan menggunakan penyaman udara pada mod kitaran semula dengan tingkap ditutup ketika berada dalam kenderaan.