Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah di beberapa negeri di M’sia masih ditutup akibat jerebu
M’sia-Indonesia adakan perbincangan bagi teroka kerjasama tangani jerebu, kebakaran hutan
Sekolah di beberapa negeri di M’sia masih ditutup akibat jerebu
KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 stesen di serata Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi 14 Oktober, dengan Pasir Gudang, Johor, mencatat bacaan tertinggi, iaitu 177.
Keadaan jerebu yang masih belum pulih juga memaksa semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup pada 14 Oktober.
Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata penutupan itu turut membabitkan sekolah di beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat jerebu.
“Di Selangor, penutupan membabitkan sekolah di bawah PPD Hulu Langat dan Sepang, manakala di Pahang, ia membabitkan PPD Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Di Sabah, penutupan membabitkan PPD Tawau, sementara di Sarawak, ia melibatkan PPD Serian, Sri Aman dan Lubok Antu,” katanya dalam kenyataan di Facebook, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata sekolah di negeri dan daerah lain yang tidak disenaraikan akan beroperasi seperti biasa.
Katanya, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terganggu.
Sementara itu, katanya lagi, semua guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).
Dalam pada itu, berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai di Negeri Sembilan antara yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan bacaan 174; manakala Johan Setia (173) dan Klang, Selangor (172).
Situasi sama di Bukit Rambai, Melaka, dengan bacaan 169; Cheras, Kuala Lumpur (167), manakala Putrajaya; Port Dickson di Negeri Sembilan; Larkin dan Kota Tinggi di Johor masing-masing mencatatkan bacaan 165.
Sementara itu, Bandaraya Melaka (164); Batu Muda, Kuala Lumpur (163); Pengerang, Johor (162); Banting, Selangor (160); Shah Alam, Selangor (159); Seremban, Negeri Sembilan (159); Alor Gajah, Melaka (156) dan Kemaman (156).
Kawasan lain ialah Paka, Terengganu (155); Batu Pahat, Johor (154); Indera Mahkota Kuantan, Pahang (154); Petaling Jaya, Selangor (153); Rompin, Pahang (153); IPD Serian (153); Kluang (152) dan Tangkak, Johor (152) serta Sri Aman, Sarawak (136).
Dalam perkembangan terkini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia dan Indonesia sudah mengadakan perbincangan bagi meneroka kerjasama menangani isu jerebu dan kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera yang berlarutan hampir dua bulan.
Beliau berkata menerusi perbincangan itu, kedua-dua negara akan meneliti kaedah terbaik untuk bekerjasama bagi menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu semakin membimbangkan dan mengancam kesihatan penduduk di rantau ini.
Beliau berkata perbincangan berkenaan membabitkan agensi dan kementerian berkaitan dari kedua-dua negara, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan pihak berkuasa Indonesia.