Bazar Ramadan Rahmah (BRR) yang menawarkan pilihan makanan berbuka puasa tidak lebih RM5 ($1.50) diteruskan lagi pada 2025, di 95 bazar seluruh Malaysia.
Inisiatif BRR yang dilaksanakan kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak 2023 memberi peluang umat Islam terutama yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan makanan berbuka puasa pada harga lebih rendah.
Bermula dengan 41 bazar seluruh Malaysia di awal penganjurannya pada 2023 dengan penyertaan lebih 1,000 peniaga yang menawarkan Menu Rahmah, ia diperluas ke 64 tempat pada 2024 dan 95 tempat pada 2025.
BRR merupakan salah satu daya usaha utama di bawah Program Payung Rahmah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan matlamat untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh, berkata BRR antara lain memberi tumpuan khas kepada Menu Rahmah ditawarkan peniaga tertentu di 95 BRR terlibat.
“Ia bertujuan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga lebih berpatutan, dengan tumpuan khas kepada Menu Rahmah yang dijual pada harga tidak lebih RM5.
“Kami juga akan memberi subsidi sewa tapak bazar bagi mengurangkan kos perniagaan bagi peniaga di BRR yang menawarkan Menu Rahmah,” katanya.
Dr Fuziah memberi contoh enam tempat BRR di Pahang ialah di bazar Ramadan Mahkota Square di Jerantut; Taman Temerloh Jaya (Temerloh); Muadzam Shah (Rompin); Dataran Kerayong (Bera) dan bandar Raub.
Beliau berkata BRR turut mengambil langkah proaktif menggalakkan perniagaan berkonsepkan digital khususnya melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
Langkah itu kata Dr Fuziah bertujuan meningkatkan pendedahan peniaga dan pengguna kepada kemudahan e-wallet (e-dompet) dan pembayaran tanpa tunai.
Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan turut menganjurkan program Menu Rahmah di kafe dan restoran terpilih seluruh negara yang menyediakan makan tengah hari serendah RM5.
Selain Menu Rahmah, inisiatif Payung Rahmah turut menawarkan Jualan Rahmah Ramadan yang memberi peluang orang ramai membeli barangan asas harian dan bekalan bahan mentah pada harga lebih murah hingga 30 peratus daripada pasaran.
Sementara itu di Johor, kerajaan negeri menganjurkan Program Jualan Rahmah (PJR) Salam Ramadan 2025 yang berlangsung di lapan tempat terpilih bermula 22 Februari lalu hingga 7 Mac.
Menerusi PJR yang bermatlamat meringankan beban belanja penduduk itu menawarkan potongan harga barangan asas antara 10 dengan 30 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg