Pulangnya ke rahmatullah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 14 April 2025, meninggalkan duka dan kesan mendalam kepada seluruh warga negara itu.
Tokoh politik dan negarawan ulung itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di sisi keluarganya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira 7.10 malam, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada pagi 13 April, akibat sesak nafas.
Khabar pemergian Tun Abdullah yang juga mesra disapa sebagai Pak Lah itu disahkan menantunya yang juga mantan menteri Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin.
Pemergian Allahyarham disifatkan ramai sebagai satu kehilangan besar buat Malaysia.
Allahyarham yang menghidap demensia sejak 2022, meninggalkan isteri, Tun Jeanne Abdullah, yang dinikahi pada 9 Jun 2007, selepas kematian isteri terdahulu, Datin Seri Endon, pada 20 Oktober 2005, akibat barah buah dadah.
Tun Abdullah dikatakan mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif selepas beliau bersara daripada jawatan perdana menteri dan tidak lagi aktif dalam politik.
Personaliti Tun Abdullah yang sentiasa tenang, merendah hati, lembut dan berhemah dalam pertuturan menjadikan Allahyarham tokoh pemimpin yang mudah menyantuni dan didekati segenap lapisan masyarakat, termasuk pesaing politiknya.
Sepanjang kira-kira lima setengah tahun memegang jawatan perdana menteri antara 2003 dengan 2009 selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham meninggalkan legasi besar yang akan diingati seluruh warga Malaysia.
Walaupun ketika kepimpinannya menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima Allahyarham sering dibayangi pelbagai kritikan termasuk daripada Dr Mahathir, Tun Abdullah tidak pernah sekalipun bertindak balas, sebaliknya kekal tenang meneruskan rencana untuk kemajuan Malaysia.
Terkenal dengan cetusan frasa ikonik, ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’, yang menyemarakkan aspirasi untuk warga Malaysia terus maju, Allahyarham turut memperkenal konsep Islam Hadhari sebagai dasar nasional pada 2004 semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Islam Hadhari bertujuan menggalakkan pendekatan pembangunan progresif dan penerapan tadbir urus yang seimbang berdasarkan prinsip Islam.
Turut diberi julukan Bapa Pembangunan Modal Insan, Allahyarham dikenang sebagai pencetus lima Koridor Ekonomi Malaysia, selain individu bertanggungjawab memperkenal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pemerkasa ekosistem industri halal Malaysia.
Mula menceburi politik pada 1964 dengan menyertai Umno sebelum bergiat aktif di pentas politik selepas menjadi Ahli Parlimen (AP) Kepala Batas (Pulau Pinang) pada 1978, Allahyarham meletak jawatan dalam perkhidmatan awam untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.
Allahyarham kekal menyandang jawatan AP Kepala Batas selama 35 tahun hingga 2013, selain jawatan penting lain dalam Umno, termasuk naib presiden dan timbalan presiden, sebelum dilantik menjadi Presiden Umno pada 2004.
Tun Abdullah turut meninggalkan sejarah manis dalam kerjaya politiknya apabila kepimpinan beliau berjaya melakar kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum pada 2004, yang membolehkan Barisan Nasional (BN) memenangi 198 daripada 220 kerusi Parlimen.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, anak sulung empat beradik itu merupakan cucu kepada Sheikh Abdullah Fahim, iaitu ahli falak yang mencadangkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Bahkan bapanya, Ustaz Ahmad Badawi, adalah tokoh agama yang dihormati dan pernah menjadi AP.
Sepanjang hayatnya, Tun Abdullah menerima pelbagai penghargaan dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara, termasuk pernah menerima anugerah, ‘Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure’, dari Jepun dan ‘King Faisal International Prize’ (Perkhidmatan kepada Islam) pada 2011.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg