Dalam tempoh dua tahun, kerjasama baru gabungan parti politik dalam kerajaan Perpaduan mahupun pembangkang dilihat goyang ketika kini, lantaran perkembangan terkini membabitkan pemimpin kededua pakatan yang menggambarkan bibit perpecahan dan keretakan dalam blok politik itu.
Kerajaan pemerintah, iaitu gabungan dua parti besar yang sebelum ini musuh tradisi – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – menimbulkan persoalan tentang semangat perpaduan dalam pakatan itu.
Ia menyusuli cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, untuk ‘melompat’ ke parti komponen PH, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Walaupun belum ada keputusan muktamad mengenainya, tindakan Tengku Zafrul itu dilihat mencabar Umno apabila dikatakan bersikap kacang lupakan kulit, terutama ketika Umno sedang berusaha bangkit daripada kejatuhan selepas lebih 60 tahun mentadbir Malaysia sebagai kerajaan.
Tidak menjadi masalah untuk mana-mana ahli politik berhijrah ke parti lain seandainya tidak berjawatan seperti yang dilakukan bekas ahli Umno selama 30 tahun – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang menyertai PKR pada awal Disember lalu.
Gabungan pembangkang pula digemparkan dengan ‘drama’ peletakan jawatan mengejut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu merangkap Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Bendahari Agung PN.
Pengunduran itu dibuat sejurus pimpinan tertinggi blok politik itu mengumumkan senarai jawatan tertinggi PN yang dilihat dikuasai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia sekali gus memperlihatkan betapa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) begitu mudah ‘dibuli’ rakan parti komponennya Bersatu, sehingga tindakan drastik itu terpaksa diambil Dr Ahmad Samsuri sebagai apa yang didakwa isyarat bantahan.
Biarpun kontroversi penghijrahan Tengku Zafrul disambut dengan tentangan dingin oleh Umno baik di peringkat akar umbi hinggalah pimpinan tertinggi parti, respons sebaliknya pula ditunjukkan pemimpin PKR.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuka pintu seluas-luasnya andai benar Tengku Zafrul berminat menyertai PKR.
Mengesahkan memang wujud perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR, Datuk Anwar berkata menjadi prinsip partinya untuk terbuka menerima mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti. Tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain termasuk Umno tidak terjejas.
Namun, pimpinan muda dan peringkat akar umbi PKR membidas hasrat Tengku Zafrul itu dan antaranya ialah Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan, Encik Mohd Fauzi Fadzil, yang dilaporkan menganggap perbuatan Tengku Zafrul memulakan perbincangan untuk menyertai PKR ketika masih memegang jawatan Ahli MKT Umno sebagai biadab.
“Mana mungkin kehadiran beliau (Tengku Zafrul) ke dalam PKR dapat disambut dengan berlapang dada sekiranya tiada langsung usaha perbincangan peringkat akar umbi dilakukan,” tegasnya.
Bagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail dari Universiti Putra Malaysia, perselisihan dalam sesebuah gabungan politik adalah perkara biasa dan permainan sebenar dalam pentas politik.
Beliau berpandangan tindakan Tengku Zafrul mahu beralih parti adalah strategi politik pemimpin itu, namun dibuat bukan pada masa tepat.
“Dengan kedudukan Umno-BN yang tidak stabil dari segi kekuatan parti, selain melihat sokongan masyarakat kepada PH semakin baik mutakhir ini, mungkin beliau melihat dalam konteks itu adalah lebih baik untuk berada dalam PKR.
“Keberadaan beliau dalam Umno khususnya sebagai Ketua Umno bahagian Kota Raja (Selangor) tidak begitu diterima, jadi untuk persediaan pilihan raya akan datang, beliau mahu mula membina tapak dengan menyertai PKR kerana kedudukan kukuh dan terjamin PH-PKR di Parlimen Kota Raja.
“Tengku Zafrul mungkin melihat sukar untuk beliau mendapat jawatan dalam Umno dan tahu kedudukannya lemah. Namun bagi saya ini satu tindakan tidak bijak kerana Tengku Zafrul perlu ingat beliau diangkat daripada nobody (bukan sesiapa) kepada somebody (berpengaruh) dengan bantuan Umno,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Beliau juga yakin andai perkara itu menjadi kenyataan, ia tidak akan menjejas pakatan politik PH-BN dalam kerajaan Perpaduan, namun mampu mengeruhkan hubungan baik Datuk Anwar dengan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Tengku Zafrul sepatutnya bersabar sehingga musim pilihan raya. Dalam keadaan sekarang tak sesuai kerana Kerajaan Perpaduan sedang ‘belayar’ dengan lancar,” katanya.
Dr Mohd Mahadee juga tidak janggal dengan reaksi Datuk Anwar yang mengalu-alukan peralihan Tengku Zafrul daripada Umno ke PKR.
“Tengku Zafrul seorang yang sudah ada jenama, sudah tentu Datuk Anwar membuka pintu kepadanya untuk perkukuhkan PKR dengan calon yang berkredibiliti. Cuma (Datuk) Ahmad Zahidlah yang akan tersinggung kerana Datuk Anwar mencuri asetnya, apatah lagi ketika Umno lemah,” ujarnya.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan PKR tidak patut menyambut hasrat Tengku Zafrul untuk berada dalam PKR.
“Saya berpandangan penghijrahan Tengku Zafrul tidak akan berlaku kerana Datuk Ahmad Zahid sudah meletakkan garis merah dalam isu ini dan Datuk Anwar sebagai rakan baik memahaminya. Cuma kerjaya Tengku Zafrul dalam Umno boleh dikatakan sudah terhenti dengan tindakan beliau itu,” katanya kepada BM.
Mengulas mengenai pergolakan dalam gabungan pembangkang menyusuli peletakan jawatan Dr Ahmad Samsuri dalam barisan pimpinan tertinggi PN, Dr Mohd Mahadee, berkata ia satu konflik dalaman dan bukan perkara pelik dalam mana gabungan politik.
“Konflik dalaman, perebutan kuasa, jawatan dan kerusi itu bukan berlaku dalam PN saja, tetapi juga dalam mana-mana gabungan dan itu lumrah arena politik. Cuma sejauh mana mereka menonjolkan masalah itu.
“Mata kasar kita melihat PAS berjauh hati dengan Bersatu yang membolot hampir semua jawatan tertinggi dalam PN daripada Presiden, Setiausaha Agung (dengan pelantikan Datuk Seri Azmin Ali; Ketua Wanita PN (Datuk Mas Ermieyati Shamsudin) dan turut menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN,” katanya.
Bagi Dr Azmi pula, beliau menyalahkan pimpinan PAS sebagai rakan sekutu yang lebih mempunyai pengaruh kuat dalam PN berbanding Bersatu.
“Pimpinan PAS membiarkan perkara ini berlarutan begitu lama. Ia bermula daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon bakal Perdana Menteri. Sebelum itu juga jawatan ketua pembangkang yang dipegang oleh Datuk Hamzah dan baru-baru ini pula Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.
“Saya melihat pemimpin PAS tidak mampu berpandangan jauh dan merangka strategi bagaimana mahu menggunakan kekuatan mereka dalam PN walaupun mereka mentadbir empat negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis).
“Itu adalah bantahan yang saya lihat agak terlambat kerana ketiga-tiga jawatan ini, (calon) Perdana Menteri, ketua pembangkang dan Setiausaha Agung PN dipegang Bersatu secara sepihak,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg