SHAH ALAM (Selangor): Kerajaan Malaysia sedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun menegaskan proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan kemuafakatan semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen (AP).
“Ada cadangan yang saya setuju seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, kerana kita tahu, kalau sampai 22 tahun, boleh rosak negara.
“Saya setuju, tetapi kita perlu runding dapatkan dukungan semua parti supaya ada dua pertiga sokongan AP. Jangan bimbang, kalau saya tidak mungkin lepas 10 tahun. Dua tahun pun sudah penat.
“Saya, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju. Biar ada kesediaan, persetujuan dua pertiga, saya sendiri akan mulakan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berucap demikian ketika Kongres Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam, Selangor, pada 16 Mac.
Agenda mengehadkan tempoh seseorang pemimpin untuk memegang jawatan perdana menteri kepada 10 tahun saja adalah sebahagian janji reformasi yang dibawakan PH.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Malaysia (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick.
Terdahulu, Encik Loke dalam ucapannya berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
Beliau, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata janji itu terkandung dalam manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Terdahulu, Datuk Anwar yang juga Pengerusi PH, ketika memulakan ucapannya berkata dalam tempoh dua tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, pelbagai pencapaian dan reformasi pentadbiran dapat dilaksanakan.
“Kita pinda Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pembangkang menentang dengan cara berkecuali.
“Pindaan Perlembagaan bagi memartabatkan kuasa wanita kerana tidak munasabah apabila ‘parent’ dalam rujukan Perlembagaan kita adalah bapa,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg