Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sedang mempergiat strategi pertumbuhan pelancongan serantau menerusi sesi padanan perniagaan bersama pemain industri pelancongan di Johor Bahru, dalam usaha meningkatkan kehadiran pelancong dari Johor dan Singapura ke pulau peranginan itu.

Menurut Lada dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH), hubungan pelancongan antara Langkawi dengan Johor dan Singapura terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi pulau itu, apabila seramai 52,867 pelancong dari Johor dan 48,119 pelancong dari Singapura direkodkan berkunjung ke Langkawi setakat suku ketiga 2025.