KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan dakwaan ujian sistem amaran awal bencana membabitkan orang awam di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang, diadakan pada 19 November.

SKMM dalam satu kenyataan pada 19 November memaklumkan bahawa maklumat yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai pelaksanaan ujian sistem yang dinamakan Sistem Amaran Awal Nasional di empat negeri itu adalah tidak benar.

“Aktiviti yang dijadualkan pada hari ini (19 November) adalah ujian teknikal dalaman.

“Ia bagi menilai kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem, sebelum pelaksanaan yang lebih meluas dan bukannya ujian amaran membabitkan orang awam di negeri terbabit seperti yang didakwa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta merujuk saluran rasmi SKMM bagi mendapatkan perkembangan dan pengumuman terkini.

“Semak dahulu sebelum berkongsi,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, The Star melaporkan sistem amaran awal bagi memaklumkan orang ramai mengenai bencana alam terutama banjir di Malaysia dijangka mula beroperasi di seluruh negara menjelang akhir 2026, menurut SKMM.

Sistem berkenaan menggunakan teknologi siaran sel (cell broadcast).

Menurut laporan itu, ujian pada 19 November adalah sebahagian daripada penilaian kesiapsiagaan teknikal sistem amaran berkenaan, merangkumi keseluruhan proses daripada pengaktifan amaran sehingga penghantarannya ke peranti mudah alih pengguna.

Sebelum ini dilaporkan, projek rintis sistem berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi banjir termasuk di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.

Sistem itu berupaya menghantar amaran bencana secara langsung ke telefon bimbit di kawasan terjejas, tanpa memerlukan sambungan Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau nombor telefon penerima.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini berkata sistem baharu itu bertujuan menggantikan sistem sedia ada yang berasaskan SMS secara berperingkat.

Sistem itu turut dibangunkan bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran.