SHAH ALAM: Banjir yang pada awalnya disangka banjir kilat akhirnya menyebabkan lebih 1,000 mangsa di tiga kawasan di Selangor dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam 5 November, menyusuli hujan lebat berpanjangan yang melanda negeri itu.

Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan empat PPS dibuka di Kuala Selangor, menempatkan 734 mangsa daripada 187 keluarga; manakala empat lagi PPS dibuka di Shah Alam untuk perlindungan 369 mangsa dari 82 keluarga.

Selain itu satu PPS dibuka di daerah Klang melibatkan 17 mangsa.

Hujan lebat hampir tiga jam menyebabkan limpahan air dan banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor.

Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, berkata hasil tinjauan mendapati aliran air terlalu deras akibat hujan lebat berterusan menyebabkan struktur konkrit longkang pecah dan air melimpah ke kawasan berhampiran.

Selain itu, air dari kolam takungan di Taman Seri Alam, Saujana Utama di Bandar Puncak Alam, melimpah sehingga membanjiri kawasan perumahan akibat hujan lebat sejak 4 petang 5 November.

Limpahan air didakwa memasuki rumah di Jalan Seri Alam 1, memaksa penduduk segera menyelamatkan barangan berharga, selain memindahkan kenderaan ke tempat selamat.

Mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, berkata Shah Alam berisiko terus berdepan banjir besar sekiranya kerajaan gagal menyediakan laluan alternatif bagi pengaliran air, selain sistem sungai sedia ada.

Menurutnya, risiko kejadian banjir dijangka meningkat pada masa hadapan berikutan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya, selain kedudukan Shah Alam yang lebih rendah berbanding kawasan berhampiran.

Katanya kajian terperinci projek tebatan banjir Canal City yang pernah dirancangnya mendapati projek itu berupaya menampung ratusan ribu liter air dan mengelakkan Shah Alam daripada bencana banjir besar untuk tempoh 100 tahun.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan terusan sepanjang 18 kilometer (km) yang menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat.

“Malangnya, projek itu sudah dibatalkan dan lebih malang lagi tanahnya dijual kepada pihak pemaju,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang mengingatkan orang ramai, khususnya penduduk di daerah itu, supaya sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama lima hari bermula 7 November ini.

Menurut kenyataan jawatankuasa itu, fenomena berkenaan dijangka berlaku dari 7 hingga 11 November, dengan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramal mencecah sehingga 5.2 meter dan memungkinkan risiko banjir.