Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk M’sia akan terima amaran bencana alam menerusi telefon bimbit jelang akhir 2026
Penduduk M’sia akan terima amaran bencana alam menerusi telefon bimbit jelang akhir 2026
Projek rintis ini dijangka beri tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi banjir termasuk di Selangor, Kelantan dan Pahang
Penduduk M’sia akan terima amaran bencana alam menerusi telefon bimbit jelang akhir 2026
KUALA LUMPUR: Sistem amaran awal bagi memaklumkan orang ramai mengenai bencana alam terutama banjir di Malaysia dijangka mula beroperasi di seluruh negara menjelang akhir 2026, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sebelum dilaksanakan di seluruh negara, ujian sistem yang menggunakan teknologi siaran sel (cell broadcast) itu akan dijalankan pada 19 November.
“Orang ramai digalakkan memastikan peranti mudah alih masing-masing dikemas kini dengan perisian operasi terkini.
“Langkah ini bagi menyokong penerimaan amaran kecemasan apabila sistem itu mula beroperasi,” kata SKMM, lapor The Star.
Menurut SKMM, ujian pada 19 November itu adalah sebahagian daripada penilaian kesiapsiagaan teknikal sistem berkenaan, merangkumi keseluruhan proses daripada pengaktifan amaran sehingga penghantarannya ke peranti mudah alih pengguna.
“Ujian ini dijalankan sebagai persediaan sebelum sistem itu dilaksanakan di seluruh negara menjelang akhir 2026,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, projek rintis sistem berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi banjir, termasuk di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.
SKMM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang membangunkan sistem amaran awal banjir menggunakan teknologi Sistem Siaran Sel (CBS).
Sistem itu berupaya menghantar amaran bencana secara langsung ke telefon bimbit di kawasan terjejas, tanpa memerlukan sambungan Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau nombor telefon penerima.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini berkata sistem baharu itu bertujuan menggantikan sistem sedia ada yang berasaskan SMS secara berperingkat.
Sistem itu turut dibangunkan bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran.
Dalam pada itu, Berita Harian Malaysia melaporkan beberapa kawasan di Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak mula dilanda banjir, menyebabkan lebih 2,500 mangsa daripada 769 keluarga ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan data terkini portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor kembali menjadi negeri tertinggi merekodkan mangsa banjir dengan lebih 1,300 orang daripada lebih 360 keluarga, yang kini ditempatkan di 11 PPS di tiga daerah.
Selain itu di Perak, lebih 1,000 mangsa daripada 368 keluarga ditempatkan di 10 PPS membabitkan lima daerah, sementara baki lebih 100 mangsa adalah di Negeri Sembilan dan Melaka.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan hujan sangat lebat dengan rekod taburan antara 63.5 milimeter (mm) hingga 114.5mm mencetuskan banjir di 23 kawasan membabitkan empat daerah di Selangor pada 17 November.
Daerah terbabit ialah Klang yang merekodkan lapan kawasan terjejas, diikuti Gombak (tujuh), Kuala Selangor (lima) dan Petaling (tiga).