Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi pelancongan Johor mohon hurai isu sekatan permit rentas sempadan ke S’pura

Larangan kenderaan M’sia mohon permit ‘Hire and Drive’ S’pura sejak 2023 jejas perkhidmatan, syarikat berdaftar
Aug 22, 2025 | 3:24 PM
sekatan permit masuk kenderaan pelancongan, singapore, malaysia
Encik Khairul Anuar (lima dari kiri), bersama lebih 30 agensi pelancongan berlesen tampil menggesa kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura agar segera mencari penyelesaian berhubung sekatan permit masuk kenderaan pelancongan ke Singapura. Mereka memegang gambar dan butiran kenderaan yang dikatakan telah disita oleh pihak berkuasa di Singapura. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beberapa wakil agensi pelancongan Johor tampil meminta kerajaan Malaysia dan Singapura agar segera mencari penyelesaian berhubung sekatan permit masuk kenderaan pelancongan ke Singapura yang didakwa menjejas industri pelancongan negeri.

Wakil kumpulan tersebut, Encik Khairul Anuar, 37 tahun, berkata larangan kenderaan pelancongan Malaysia yang mempunyai lesen ‘Hire and Drive’ untuk memohon Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean (PSVP) dan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) Singapura sejak pertengahan 2023 telah memberi kesan besar kepada perkhidmatan rentas sempadan dan menjejas ratusan syarikat berdaftar.

“Kenderaan pelancongan kami telah memenuhi semua piawaian, termasuk pemeriksaan berkala Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer), insurans penumpang bagi setiap tempat duduk dan pemandu bertauliah dengan lesen vokasional.

“Namun, permohonan kami ditolak hanya kerana kenderaan didaftarkan di bawah nama syarikat pelancongan, sewa dan pengangkutan.

“Akibatnya, ruang kosong ini diisi oleh teksi haram yang beroperasi tanpa kawalan,” katanya pada sidang media di DCM Hall, Johor Bahru, pada 22 Ogos.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejas keselamatan penumpang, malah merugikan pengusaha yang sah serta mencemarkan imej pelancongan Malaysia.

Malah, sebahagian syarikat terpaksa menyerahkan semula permit mereka dan ada yang terpaksa beroperasi tanpa kebenaran kerana tekanan kos.

Encik Khairul berkata agensi pelancongan Johor mencadangkan beberapa langkah bagi mengatasi masalah ini, termasuk membenarkan kenderaan pelancongan premium seperti Toyota Vellfire, Alphard dan Hyundai Starex / Staria menggunakan laluan kereta biasa di pintu sempadan dengan permit Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSVL) seperti bas persiaran.

“Kami mahu konsep kesetaraan operasi dengan pihak Singapura. Sama ada bas, van atau kereta pelancongan, semua patut dibenarkan beroperasi secara sah.

“Dengan permit rentas sempadan yang sesuai, kami boleh menghapuskan lambakan teksi haram dan pada masa sama menyokong kerjasama ekonomi dua hala melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu kenderaan pelancongan Malaysia yang disita di Singapura.

“Setakat ini, dianggarkan 119 kenderaan telah disita, ada yang bernilai hingga RM250,000 ($75,883). Walaupun saman telah dibayar, ada kenderaan tidak dipulangkan.

“Kami juga mahu isu pemulangan kenderaan ini ditangani secara adil dan telus,” katanya sambil memaklumkan setiap pemandu juga dikehendaki membayar saman $4,000.

Menurutnya, sekatan itu turut meningkatkan risiko kepada pelancong kerana kekosongan perkhidmatan diisi pengendali tanpa lesen dan tanpa insurans.

Selain itu, pelancong dari luar negara yang tiba di Lapangan Terbang Changi untuk ke Johor terpaksa berdepan pelbagai transit yang menyulitkan.

“Bayangkan pelancong warga emas, orang kelainan upaya (OKU) atau keluarga dengan anak kecil terpaksa menaiki bas, tukar teksi dan berjalan jauh hanya untuk beratur panjang bagi mendapatkan cop masuk atau keluar.

“Ini memberi pengalaman buruk dan akhirnya pelancong memilih untuk kekal di Singapura sahaja,” terangnya.

Beliau turut menarik perhatian pelaksanaan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) rentas sempadan yang kini dipertimbang akan memberi kesan lebih buruk kepada kira-kira 400 syarikat pelancongan berdaftar di Johor.

Encik Khairul berkata industri pelancongan Johor tidak menolak dasar keselamatan dan kawalan sempadan, namun menggesa agar syarat permit diselaraskan.

“Kami sedia bekerjasama dengan persatuan pengendali Singapura untuk menyelaras kadar tambang dan prosedur. Apa yang kami minta ialah saluran yang sah, bukan jalan pintas.

“Jika isu ini berlarutan, ia bukan sahaja menjejas periuk nasi pengusaha, malah peluang pelancongan dan pelaburan serantau menjelang Tahun Melawat Johor dan Malaysia 2026 juga terkesan,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri wakil lebih 30 agensi pelancongan berlesen.

Mereka menyeru kededua kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura serta persatuan industri agar duduk semeja untuk merangka pelan tindakan segera, termasuk pemulangan kenderaan yang disita dan kelonggaran permit rentas sempadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg