Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tindakan tegas ke atas e-hailing haram JB-S’pura gentarkan pemandu tidak berlesen

Perkhidmatan teksi rentas sempadan yang sah dapat manfaat dengan bertambahnya permintaan
Aug 22, 2025 | 10:45 AM
Tindakan tegas, e-hailing haram JB-S’pura, pemandu tidak berlesen takut 
Operasi yang dijalankan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura menyasarkan kenderaan persendirian berdaftar Malaysia yang menjalankan perkhidmatan e-hailing secara tidak sah. - Foto FACEBOOK PENGUASA PENGANGKUTAN DARAT SINGAPURA

JOHOR BAHRU: Serbuan terhadap perkhidmatan pengangkutan haram di kedua-dua sisi sempadan di Tambak Johor telah menakutkan ‘ulat tiket’ (pemandu tidak berlesen) yang sebelum ini meraih pendapatan lumayan dengan menawarkan perkhidmatan e-hailing (kenderaan swasta) haram antara Johor Bahru dengan Singapura.

Kumpulan itu, yang beroperasi menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah bernilai lebih RM500,000 ($152,376) sebuah, dipercayai memperoleh antara RM1,650 hingga RM3,300 setiap hari.

Namun sejak penguatkuasaan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura bermula 5 Ogos lalu, kumpulan itu yang kebiasaannya menunggu di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru, untuk mencari penumpang, kini dilaporkan menyembunyikan diri.

Operasi pihak berkuasa Singapura itu menyasarkan kenderaan persendirian berdaftar di Malaysia.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia turut memulakan operasi sama ke atas kenderaan berdaftar Singapura bermula 9 Ogos lalu.

Langkah itu menjadi berita gembira buat pemandu teksi berlesen khidmat rentas sempadan Malaysia seperti Encik Jasmani Yasmi, 51 tahun, yang berharap LTA akan terus mengambil tindakan terhadap ‘ulat tiket’ berkenaan.

Beliau, yang sudah 15 tahun memandu teksi bagi laluan Johor Bahru-Singapura, berkata pemandu teksi berlesen Malaysia dan Singapura sudah lama mengadukan masalah ‘ulat tiket’ itu, namun mendakwa tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa terhadap pengendali perkhidmatan haram berkenaan.

“Pihak berkuasa juga sepatutnya mengenakan denda kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing haram walaupun mengetahui ia tidak berlesen,” katanya, lapor The Star.

Pada masa ini, teksi berdaftar Singapura yang melalui laluan itu dibenarkan membawa penumpang dari Terminal Larkin Sentral ke destinasi lain di Singapura.

Sebaliknya, teksi Malaysia hanya dibenarkan menghantar penumpang dari terminal berkenaan ke hentian teksi Ban San Street di Singapura, berhampiran Terminal Bas Queen Street.

Seorang lagi pemandu teksi, Encik Rosli Ali, 60 tahun, berkata lebih ramai penumpang kini menggunakan perkhidmatan teksi rentas sempadan berlesen susulan operasi penguatkuasaan itu.

“Sebelum ini, penumpang, khususnya rakyat Singapura, lebih suka menggunakan e-hailing haram untuk pulang ke Singapura,” katanya.

Encik Rosli berkata pengendali haram biasanya menggunakan kenderaan MPV dengan enam hingga 11 tempat duduk, menjadikannya pilihan keluarga atau berkumpulan, berbanding teksi rentas sempadan berlesen yang menggunakan kereta sedan.

Sebelum operasi penguatkuasaan dijalankan, katanya ‘ulat tiket’ Malaysia boleh dilihat di hentian teksi Ban San Street mencari penumpang ke Johor Bahru.

Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Luar Malaysia menggesa semua kenderaan berdaftar Malaysia yang memasuki Singapura supaya mematuhi peraturan pengangkutan jalan raya republik itu bagi mengelak masalah yang tidak diingini termasuk kenderaan disita.

Pegawai itu berkata perkara itu penting memandangkan pihak berkuasa Singapura kini giat membanteras perkhidmatan e-hailing haram di negara itu dan juga rentas sempadan dengan Malaysia.

Beliau berharap LTA dapat menjalankan siasatan terperinci dan menyasarkan operasi e-hailing haram, bukannya rakyat Malaysia yang berkongsi kenderaan untuk berulang-alik bekerja di Singapura menggunakan MPV.

Katanya, adalah penting juga bagi kenderaan Malaysia mempunyai insurans yang diperlukan apabila memandu di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg