Kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat bagi mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penubuhan Ombudsman Malaysia adalah antara beberapa persetujuan penting yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang dipengerusikannya di Putrajaya, pada 8 Disember.
Datuk Anwar berkata penubuhan Ombudsman Malaysia mencerminkan iltizam teguh Kerajaan Madani untuk terus memacu reformasi institusi, dasar dan perundangan secara holistik demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ketelusan pentadbiran negara serta mutu perkhidmatan awam.
“Kerajaan Madani turut menitikberatkan peningkatan pematuhan korporat bagi syarikat yang mengurus dana awam, supaya mandat sosial mereka dilaksanakan mengikut standard tadbir urus yang baik dan berlandaskan kerangka undang-undang lebih tersusun.
“Ini termasuk cadangan undang-undang baru bagi menyelaras perusahaan yang dimiliki atau dikawal oleh kerajaan (SOE), termasuk anak syarikat badan berkanun,” kata Datuk Anwar dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada awal 2026, menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.
Ombudsman merujuk kepada satu agensi bebas untuk menyiasat aduan terhadap pegawai dan agensi kerajaan dan inisiatif penubuhannya telah dicetuskan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Anwar sejak awal 2023.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan, berkata Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan dengan mandat yang lebih luas untuk memperkukuh integriti dan ketelusan sektor awam di Malaysia.
Menurut SPRM cadangan itu merangkumi fungsi salah tadbiran, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat yang mengutamakan kepentingan dan hak rakyat untuk mengajukan aduan bagi penambahbaikan perkhidmatan dan mengekalkan tahap wibawa tinggi sektor awam.
SPRM berkata mesyuarat itu turut membincangkan empat sub strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang perlu diberi tumpuan supaya dapat dilaksanakan mulai 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata cadangan Ombudsman Malaysia turut membabitkan penubuhan sebuah badan bebas yang akan menggabungkan fungsi utama Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), dengan mengambil kira empat elemen utama pengurusan aduan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg