Kerajaan Malaysia tidak bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Parlimen (AP) bertukar parti, dengan menegaskan Akta Anti Lompat Parti sedia ada dianggap memadai dan berkesan dalam mengawal tindakan wakil rakyat menukar haluan politik.
Menurut kerajaan, ia sudah dirangka dengan keseimbangan antara keperluan menjamin kestabilan politik dan hak kebebasan berpersatuan yang dilindungi Perlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata peruntukan di bawah Perkara 49A itu telah mencapai matlamat utamanya dan tidak wajar dipinda tanpa keperluan mendesak.
“Kerangka perundangan yang melarang AP bertukar parti sudah memadai dan seimbang.
“Matlamat utama peruntukan ini adalah menjamin kestabilan politik negara di samping menghormati hak asasi untuk berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen Malaysia pada 20 November.
Datuk Azalina menjawab soalan AP, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Perikatan Nasional - Beluran), yang meminta penjelasan mengenai dakwaan undang-undang itu gagal menghalang wakil rakyat daripada berpindah parti, serta tindakan yang akan diambil kerajaan bagi memperkukuhkannya.
Mengulas lanjut, Datuk Azalina menegaskan kerajaan Madani ketika ini tidak mempunyai cadangan untuk menambah baik atau meminda peruntukan sedia ada, namun terbuka menelitinya jika terdapat keperluan atau persetujuan bersama daripada semua blok politik.
“Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu. Namun kerajaan sentiasa bersedia meneliti perkara ini bersama parti kerajaan dan pembangkang sekiranya wujud keperluan,” katanya.
Perkara 49A yang mengandungi Akta Anti Lompat Parti, dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2022, bagi menghalang budaya lompat parti yang sebelum ini mencetuskan ketidakstabilan politik, termasuk perubahan kerajaan Malaysia sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang lima tahun.
Di bawah Perkara 49A, kerusi diduduki seseorang AP itu hendaklah dikosongkan sekiranya AP terbabit melepaskan keanggotaan dalam parti politik dan tidak lagi menjadi anggota parti politik itu atau menyertai satu parti politik lain sebagai anggota.
Bagaimanapun, kerusi AP itu tidak terjejas sekiranya berlaku pembubaran parti politik yang dianggotainya atau pembatalan pendaftaran parti politiknya; pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua; atau dipecat daripada keanggotaan dalam parti politiknya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri kini sedang dalam tindakan untuk membentangkan dasar cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia kepada Jemaah Menteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg