Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgong beli saham syarikat perlombongan nadir bumi tersenarai di S’pura
Southern Alliance Mining giat kembang perniagaan termasuk menerusi sebuah projek di Johor
Agong beli saham syarikat perlombongan nadir bumi tersenarai di S’pura
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, membeli kepentingan dalam syarikat perlombongan tempatan, Southern Alliance Mining, yang sedang mengembangkan perniagaannya ke dalam industri unsur nadir bumi, termasuk menerusi sebuah projek di Johor.
Sultan Ibrahim membeli 2.25 peratus kepentingan dalam Southern Alliance Mining, sebuah syarikat perlombongan bijih besi yang disenaraikan di Bursa Singapura, pada harga $6.1 juta, menurut kenyataan syarikat itu.
Beliau memperoleh saham tersebut daripada Pengarah Urusan syarikat, Encik Pek Kok Sam, pada harga 42.5 sen Singapura sesaham – hampir 12 peratus lebih tinggi berbanding harga penutup pada 12 Oktober, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada hari sama.
Saham Southern Alliance Mining meningkat 10.5 peratus kepada 42 sen Singapura pada awal dagangan di Singapura pada 13 Oktober.
Sultan Ibrahim mempunyai kepentingan perniagaan yang luas merangkumi sektor hartanah, telekomunikasi dan prasarana, terutamanya menerusi pegangan saham baginda dalam pelbagai perusahaan.
Beliau kini menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun di bawah sistem penggiliran pemerintahan beraja Malaysia yang unik, membabitkan sembilan Raja Melayu yang bergilir-gilir menduduki takhta.
Wakil Istana Negara tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan pada 13 Oktober, lapor Bloomberg.
Pada September 2025, Southern Alliance Mining memperoleh 40 peratus kepentingan dalam MCRE Resources yang menjalin kerjasama dengan China Rare Earth Corp bagi menjalankan kegiatan perlombongan unsur nadir bumi di Perak.
Southern Alliance Mining juga sedang mengusahakan cadangan pengambilalihan Paramount Synergy bagi sebuah projek unsur nadir bumi di Johor, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukannya dalam sektor yang sedang berkembang itu.
Syarikat tersebut telah lama menjalankan kegiatan perlombongan di Johor menerusi lombong utamanya, Chaah Mine, dan terus meneroka peluang pembangunan sumber mineral di Malaysia.
Malaysia sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjadi antara pemain industri unsur nadir bumi yang berdaya saing di peringkat global, sekali gus menarik minat besar daripada syarikat perlombongan dan pemprosesan mineral asing.