Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgong, Permaisuri ucap tahniah sempena Hari Kebangsaan ke-69
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada semua rakyat di Malaysia.
Ucapan berkenaan dizahirkan menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba ke Sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya pada 8 pagi dan disambut oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sambutan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’ dimulakan dengan istiadat ketenteraan diikuti persembahan pentas dan perarakan warna-warni yang menggambarkan aspirasi Malaysia Madani sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.
Acara perarakan dan perbarisan melibatkan penyertaan 10,819 peserta membabitkan 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 haiwan dalam perkhidmatan selain 22 unit aset kenderaan elektrik (EV) selain diserikan dengan persembahan grafik manusia di teres.
Majlis itu dihadiri lebih 80,000 pengunjung, lapor Bernama.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong berangkat tiba menaiki kenderaan limosin Aurus Senat khas Seri Paduka Baginda yang dibeli dari Russia.
Lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama sebaik Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Pentas Diraja.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menyaksikan terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera-bendera Angkatan Tentera Malaysia, serta jet-jet pejuang.
