Presiden Tharman Shanmugaratnam, baru-baru ini membuat lawatan negara pertama ke Malaysia, menyifatkan Singapura dan Malaysia “mempunyai fikiran serupa”, serta menggambarkan keutuhan hubungan dua hala dalam pelbagai perkara.

Tuan Presiden turut menyifatkan kunjungannya itu sebagai lawatan “timbal balas yang menepati tuntutan dan bersandarkan nilai teras”, sambil memberi penekanan bahawa Singapura dan Malaysia “berada di kedudukan lebih baik apabila kita bekerjasama dan berkembang bersama”.

Ungkapan tersebut dibuat oleh Tuan Presiden dalam pelbagai acara yang dihadirinya sempena lawatan negara pertama beliau ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai, atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.

Semasa temu bualnya bersama agensi berita Malaysia, Bernama, yang diterbitkan pada 12 Julai, Tuan Presiden berkata hubungan Singapura-Malaysia tidak pernah dan tidak boleh bersifat transaksional semata-mata.

Ia dibina atas dasar saling menghormati, membawa manfaatkan kepada satu sama lain, persefahaman mendalam dan “pembangunan simbiotik” merangkumi antara lain penyepaduan ekonomi.

Lawatan negara secara lumrahnya lebih bersifat istiadat, namun ungkapan Tuan Presiden sebegini harus diberi perhatian.

Ia mencerminkan pentingnya hubungan dua hala ini bagi Singapura, apatah lagi di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik dan peralihan ekonomi.

Secara umumnya, mesej yang diketengahkan Tuan Presiden sempena lawatan itu berteraskan kepercayaan, kesinambungan dan kepentingan bersama Singapura dan Malaysia.

Semasa pertemuan Tuan Presiden bersama para pemimpin Malaysia di peringkat persekutuan dan negeri, topik seperti peralihan tenaga, ekonomi digital dan kerjasama serantau menjadi tumpuan, yang dilihat sebagai pemacu hubungan dua hala Singapura-Malaysia ke tahap seterusnya.

Tuan Presiden mengetengahkan bidang kepentingan yang dapat diusahakan bersama – termasuk dalam kemampanan, kerjasama ekonomi dan penyepaduan serantau.

Ini sekali gus menekankan kerjasama berpaksikan masa depan, lebih-lebih lagi sedang Asean mengharungi persekitaran luaran yang semakin tidak menentu.

Dalam isu kemampanan, Tuan Presiden telah lama menyokong tindakan iklim, kewangan mampan dan pembangunan ekonomi bersifat terangkum di peringkat antarabangsa.

Semasa lawatan tersebut, beliau menyentuh tentang daya tahan alam sekitar, pembangunan bandar dan pertumbuhan hijau bersama pemimpin Malaysia.

Semasa pertemuan Tuan Presiden secara berasingan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kedua-dua pihak membincangkan beberapa potensi bidang kerjasama – antaranya penyesuaian iklim dan tebatan banjir.

Kemampanan jelas menjadi keutamaan domestik Singapura dan turut menjadi agenda pembangunan Malaysia.

Dengan mengetengahkan isu-isu ini, Singapura memberi isyarat bahawa hubungan dua hala sedang berkembang melangkaui kebimbangan tradisional seperti perdagangan dan ketersambungan untuk merangkumi tindak balas bersama terhadap cabaran sejagat.

Satu lagi mesej yang diberi tumpuan adalah pelaburan terhadap generasi akan datang.

Tuan Presiden menggesa kedua-dua negara memperkukuhkan hubungan bukan sahaja di peringkat antara pemerintah, bahkan juga antara rakyat, terutama golongan lebih muda yang akan mewarisi hubungan ini.

Penekanan ini mengiktiraf bahawa walaupun hubungan berlandaskan sejarah bersama kedua-dua negara kekal penting, daya ketahanan hubungan dua hala semakin bergantung pada pertukaran sosial, pertukaran pendidikan dan pertukaran ekonomi berterusan.

Ia juga memperluas hubungan Malaysia-Singapura lebih daripada sekadar diplomasi semata-mata, tetapi meletakkan hubungan antara rakyat sebagai aset strategik dan bukannya aspirasi simbolik.

Di samping itu, mesej Tuan Presiden mencerminkan keyakinan terhadap kematangan hubungan Singapura-Malaysia.

Malah, beliau berkata kedua-dua negara meletakkan matlamat lebih besar ke arah memperluas usaha sama menjadikan hubungan kedua-dua negara kekal utuh dan ini sesuatu yang semakin jarang dilihat dalam dunia kini yang berpecah belah.

Pendekatan ini selaras dengan bagaimana Singapura dan Malaysia meletakkan negara masing-masing, di tengah-tengah persaingan geopolitik yang lebih luas.

Ketika persaingan strategik antara kuasa besar semakin meningkat, Singapura dan Malaysia secara tekal bersependapat negara-negara serantau harus memperkukuhkan kerjasama dalam Asean dan mengelakkan daripada mengambil pendekatan bersifat ‘protectionism’ atau mementingkan diri sendiri semata-mata.

Gesaan Tuan Presiden terhadap usaha sama serantau mencerminkan mesej dasar luar yang lebih luas – sejajar dengan prinsip Singapura terhadap daya ketahanan serantau, keterbukaan dan kerjasama berasaskan peraturan atau undang-undang.

Tumpuan pada unsur timbal balas, kemakmuran bersama, kemampanan dan terhadap generasi akan datang terus menjadi asas yang memperkukuhkan hubungan Malaysia dan Singapura.