Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agong ingatkan pemimpin tidak politikkan isu sensitif, seru perpaduan rakyat

Mesej sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun
Jun 2, 2025 | 3:10 PM
Malaysia, Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Foto ISTANA NEGARA

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mengingatkan semua pemimpin masyarakat agar tidak mempermainkan isu sensitif yang boleh menggugat kestabilan negara dan memecahbelahkan rakyat.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat dan menjejas keharmonian negara.

“Suka saya ingatkan kepada pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif yang akan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.

“Begitu juga apabila wujud lebih banyak parti atau kem dalam parti, rakyat akan lebih berpecah belah dan saling membenci antara satu sama lain. Gunakanlah akal sebelum membuat sebarang keputusan.

“Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya selain daripada rakyat yang bersatu padu,” katanya semasa Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 2 Jun.

Turut hadir di istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim turut menyatakan kebimbangan berkenaan perpecahan dalam masyarakat, yang disifatkan sebagai satu “virus” yang sedang menular dan sukar dirawat.

“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara. Sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. Fikirkanlah sendiri apa virusnya.

“Saya sering bercakap dan mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat jelata: berikanlah saya hadiah berupa perpaduan yang kukuh dan berkekalan,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa keputusan dalam kerajaan perlu dibuat mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk ahli politik.

“Setiap perbelanjaan perlu dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau Ahli Parlimen untuk memancing undi sehingga menambah beban hutang negara.

“Agensi penguat kuasa pula mestilah berani dan menjalankan tugas dengan penuh integriti agar tidak hilang kepercayaan rakyat dan kehormatan kepada uniform yang dipakai,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya berkata pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bijaksana sentiasa menjadi lambang keluhuran dan penyatuan negara.

“Titah Baginda sentiasa menjadi panduan luhur bagi Kerajaan dalam membentuk serta melakar dasar dan melaksanakan tanggungjawab, menjunjung aspirasi rakyat serta memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kerajaan di bawah naungan dan titah pandu Seri Paduka Baginda akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip yang madani,” katanya.

Datuk Seri Anwar juga menyampaikan ucapan tahniah bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut pada 2 Jun.

“Semoga Allah swt terus memberkati pemerintahan Tuanku, menganugerahkan keteguhan dan kesihatan berpanjangan kepada Duli Yang Maha Mulia,” katanya.

Sementara itu, sebilangan menteri Malaysia turut menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun.

Antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke; dan Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg