Ahli Parlimen (AP) di Malaysia diingatkan agar berhenti bermain politik dengan memainkan setiap isu hanya untuk kepentingan parti atau politik mereka, sebaliknya menggunakan Dewan Rakyat untuk mengetengahkan pelbagai isu kepentingan rakyat.
Peringatan itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, kepada wakil rakyat, sambil menambah bahawa Parlimen adalah dewan perhimpunan paling utama dalam sistem Malaysia yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat undang-undang digubal dan medan semak dan imbang ke atas pentadbiran negara.
“Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah. Tetapi, ia adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
“Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri saja,” tegas Sultan Ibrahim kepada wakil rakyat ketika menyampaikan titah diraja bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Parlimen Malaysia pada 3 Februari.
Politik Malaysia dilihat sedikit bergoncang dengan pelbagai isu sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022, bermula dengan Parlimen tergantung atau hung parliament berikutan tiada parti politik yang memenangi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Sultan Ibrahim yang kali kedua merasmikan pembukaan persidangan Parlimen Malaysia menegaskan bahawa beliau melihat banyak perubahan sikap yang lebih sopan dalam kalangan wakil rakyat ketika persidangan Dewan Rakyat.
“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing.
“Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” ujarnya.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan di media sosial yang kian berleluasa sehingga menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan serta berpecah-belah.
Justeru, beliau menggesa kerajaan Malaysia supaya bertindak tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat betul serta dipercayai kepada masyarakat.
Sultan Ibrahim turut mengambil peluang menyampaikan ucapan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kerajaan di atas prestasi ekonomi Malaysia yang disifatkan membanggakan dan mahu kejayaan itu terus dipertingkatkan.
“Nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah. Pada 2024, pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara melepasi angka RM2 trilion ($0.61 trilion) buat tempoh sembilan bulan pertama.
“Namun begitu, kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu saja,” katanya.
Sultan Ibrahim turut menyentuh peranan Malaysia Sebagai Pengerusi Asean pada 2025 dan menegaskan Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju Asean.
Beliau turut mengaitkan peranan kerajaan yang perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu serantau dan sempadan negara.
“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil, bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg