Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, menggesa ahli politik di Malaysia memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat dan bukan menjadi ‘badut’ yang mencetuskan konflik isu berkait raja, agama dan kaum (3R) di negara itu.
Mantan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 itu menempelak pihak yang sengaja menimbulkan perbalahan sekali gus membawa perpecahan dalam masyarakat.
“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu 3R sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.
“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. Berdialoglah guna akal dan hati, bukannya ‘bermonolog’ guna nista dan benci.
“Semua pemimpin, khususnya pemimpin politik patut bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang telah lama terbina,” kata Sultan Abdullah.
Sultan Abdullah berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baru Kampung Durian Hijau, Masjid Rahman Ibn Auf, di Jerantut, Pahang, pada 11 Mac malam.
Petikan ucapan itu disiarkan dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Sultan Abdullah turut mengingatkan semua rakyat, tidak kira Muslim atau bukan Muslim agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi sehingga meruntuhkan keharmonian yang dibina hasil sikap saling menghormati dan toleransi selama ini.
“Sejarah telah membuktikan bahawa pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa malapetaka.
“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana.
“Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan, merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” kata Sultan Abdullah.
Sultan Abdullah turut mengingatkan umat Islam di Pahang agar bangkit bersama-sama mempertahankan dan melindungi kesucian agama Islam agar tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan.
“Saya amat berdukacita mutakhir ini masih ada suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama, mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” katanya.
Sultan Abdullah mengingatkan umat Islam supaya tidak sesekali berdiam diri apabila agama dihina walaupun sebagai seorang Muslim diajar mengikut resmi padi semakin berisi semakin menunduk.
“Jangan hanya kerana kelembutan dan kesopanan itu ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan.
“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini (Pahang) saya menyeru agar setiap Muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,” tegas Sultan Abdullah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg