KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, mengingatkan pemimpin masyarakat di negara itu tidak menjadikan agama Islam sebagai alat politik demi kepentingan peribadi.
Tegas Sultan Ibrahim, urus tadbir kerajaan perlu mengikut landasan syariat Islam, bukannya kefahaman sekular atau liberal.
“Saya ingin mengingatkan pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, mengislamkan politik demi kepentingan negara.
“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan. Oleh itu, janganlah ada pihak tunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau sebar fitnah, menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat,” katanya, lapor Free Malaysia Today.
Sultan Ibrahim menyampaikan peringatan itu ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur pada 27 Jun.
Beliau turut mengingatkan supaya pemimpin tidak menjadikan pentas dakwah dan medan pengajaran agama sebagai saluran membawa agenda politik kepartian, sebaliknya kekal sebagai ruang memperkukuh perpaduan serta penyatuan ummah.
Sultan Ibrahim turut meminta semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali menyalakan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
“Nilai perpaduan erat dicapai di negara ini melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.
“Marilah kita bersama menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian,” katanya.
Sultan Ibrahim turut menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan Malaysia mencontohi sifat Rasulullah saw yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi golongan lemah.
Selain itu, umat Islam Malaysia juga diseru memahami tanggungjawab besar dalam membina sebuah tamadun berteraskan nilai Islam.
“Pembangunan sebenar bukan sekadar daripada segi fizikal, tetapi turut mencakupi aspek akhlak, ilmu dan keinsanan.
“Orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka dijanjikan kedudukan tinggi di sisiNya. Mereka inilah golongan yang benar-benar memperoleh kemenangan.
“Hijrah Rasulullah saw ke Madinah satu perjalanan bersejarah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Piagam Madinah, iaitu dokumen penting mendasari prinsip keadilan, muafakat dan kepelbagaian,” kata Sultan Ibrahim.
Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada mantan Mufti Johor, Tan Sri Nooh Gadot, sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, manakala Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Encik Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah, sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg