Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menghadiri majlis makan tengah hari diraja yang dianjurkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Istana Negara di Kuala Lumpur, Malaysia pada 27 Mei.
Menulis di Facebook, Encik Wong berkata:
“Baginda adalah sahabat lama Singapura, dan adalah amat berbesar hati untuk berjumpa dengan beliau sekali lagi menyusuli pertemuan terakhir kami pada Januari.
“Terima kasih... atas sokongan padu anda bagi hubungan yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara kita.”
Sementara itu, Encik Wong turut bertemu dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, di luar Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua di Kuala Lumpur, Malaysia pada 27 Mei.
Beliau turut bertemu dengan Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa, secara berasingan pada hari yang sama.
Semasa pertemuan dua hala itu, Encik Wong telah menyatakan harapan untuk bekerjasama dengan Qatar dan Bahrain untuk mempertingkat kerjasama Singapura dengan negara tersebut.
Menulis di platform media sosial X, Encik Wong berkata Singapura dan Qatar berkongsi hubungan yang kukuh dan lama.
Ini merupakan kali pertama Encik Wong bertemu dengan Amir Qatar sebagai Perdana Menteri.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Yang Amat Mulia untuk memperdalami lagi kerjasama pelbagai bidang kami – sedang kami mengharungi landskap global yang semakin rumit dan mencabar bersama,” kata beliau.
Dalam pertemuannya dengan Bahrain pula, Encik Wong berkata Singapura dan Bahrain berkongsi pandangan yang serupa, iaitu untuk sentiasa cuba mencari kerelevanan dan menambah nilai kepada dunia.
Kedua-dua Singapura dan Bahrain adalah negara pulau kecil dengan sekitar saiz tanah yang sama.
“Banyak yang boleh kita perolehi daripada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik bersama.
“(Saya) berharap (dapat) bekerjasama dengan Duli Yang Amat Mulia untuk mempertingkat kerjasama kami,” kata Encik Wong.
Sidang Puncak Asean-GCC yang pertama berlangsung pada 2023 di Riyadh, Arab Saudi, yang mana kedua-dua blok rantau itu melakarkan agenda lima tahun mereka dan memutuskan untuk mengadakan sidang puncak setiap dua tahun, diadakan secara bergilir-gilir antara rantau GCC dengan Asean.
GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg