KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berangkat merasmikan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur, di sini pada 23 Ogos.
Ketibaan Sultan Ibrahim di Stesen Kuala Lumpur pada 7.45 pagi disambut Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke; Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Setelah Majlis Peluncuran Khas ETS3, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencapai kelajuan hingga 140 kilometer sejam itu menuju ke Stesen Kluang di Johor.
Mengiringi Sultan Ibrahim dalam pemanduan yang mengambil masa kira-kira 3 jam 30 minit itu ialah Encik Loke, Tan Shamsul Azri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
Di Stesen Kluang, Sultan Ibrahim dijadual menyempurnakan perasmian Laman Rel Mahkota, sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer yang dibangunkan di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, lapor Berita Harian Malaysia.
Selepas majlis berkenaan, Sultan Ibrahim dijadual berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki ETS3.
Sultan Ibrahim sebelum ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).
Beliau memperoleh lesen memandu kereta api serta melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.
Pada 19 Ogos lalu, Sultan Ibrahim turut berkenan memandu ETS2 dari Kuala Lumpur ke Rawang.
Encik Loke sebelum ini dilaporkan, berkata kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) bagi laluan selatan ke Johor Bahru Sentral, sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini.
Pada 23 Ogos, Encik Loke berkata ETS3 laluan selatan akan mula beroperasi pada 30 Ogos ini.
Beliau berkata ia membabitkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) - Kluang - KL Sentral.
“Pembelian tiket boleh dibuat mulai 8 malam ini (23 Ogos) melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB,” katanya dalam kenyataan pada 23 Ogos. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg