KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, berharap Malaysia akan terus dilindungi, diberkati dan dikurniakan kemakmuran yang berkekalan.
“Toleransi dan hormat-menghormati sesama kita tanpa mengira agama serta bangsa, menjadi tunjang perpaduan negara selama ini.
“Saya sentiasa menekankan perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum adalah hadiah paling bermakna buat saya,” titah Sultan Ibrahim bersempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati pembentukan Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, juga menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim.
Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, pada malam 16 September.
Sementara itu, dalam satu perkongsian menerusi akaun Facebook miliknya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menolak perpecahan dan permusuhan serta menjulang kebersamaan ke arah melonjakkan potensi dan keupayaan negara ke tahap tertinggi.
Beliau mahu rakyat negara itu menjiwai erti penubuhan Malaysia yang bebas dan merdeka.
“Selama 61 tahun negara Malaysia yang kita cintai terbentuk dan dalam tempoh itu, pelbagai rintangan yang mematangkan berjaya kita tempuhi bersama-sama.
“Sambutan yang diraikan saban tahun ini harus menjadi cetusan semangat dan manifestasi perpaduan, selain kecintaan mendalam kepada tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan budaya.
“Selamat menyambut Hari Malaysia Ke-61,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Selain itu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama barisan jemaah menteri, juga mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia melalui laman sosial masing-masing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg