PUTRAJAYA: Seorang anggota kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 18 September atas tuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas seorang wanita yang juga bekas anggota organisasi itu pada awal September.
Tertuduh, Mohamad Riza Makar, 39 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Mengikut tuduhan, Mohamad Riza yang juga ahli perniagaan, didakwa menakutkan secara jenayah ke atas wanita berusia 25 tahun di sebuah tempat letak kenderaan di Putrajaya kira-kira 10 malam pada 9 September lalu.
Suami kepada tiga isteri yang juga bapa 10 anak itu didakwa mengugut wanita terbabit apabila berkata: “Kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga”, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran supaya bekas ahli GISBH itu menarik balik laporan polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit bersalah, lapor Berita Harian Malaysia.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman, manakala tertuduh diwakili peguam Zulfikri Ulul Azmin.
Terdahulu, Encik Mohd Sabri mencadangkan supaya mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ($9,145) dengan dua penjamin, selain meminta tertuduh tidak mengganggu wanita itu sepanjang prosiding berlangsung.
Bagaimanapun, peguam bela meminta jaminan dikurangkan memandangkan kes terbabit dikategorikan ringan dan pendapatan tertuduh adalah RM4,000 sebulan serta tiada kaitan secara langsung dengan GISBH, sebaliknya hanya membuat usaha sama dengan organisasi itu.
Tertuduh ketika diminta mengemukakan kenyataan tambahan, meminta mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan baru menimang cahaya mata dalam tempoh kurang sebulan dan proses pendaftaran bayi terbabit belum dibuat.
“Saya mohon (mahkamah) mengurangkan jaminan kerana isteri baru melahirkan anak, kurang sebulan dan pendaftaran pun belum dibuat.
“Memandangkan sekarang musim cuti persekolahan, saya perlu berdepan 10 anak dan perlu menyediakan duit atau dana untuk membuat aktiviti dan persiapan persekolahan akan datang,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Ahmad Afiq membenarkan tertuduh dijamin dengan RM10,000 dan seorang penjamin, selain perlu melapor ke balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan sehingga prosiding tamat.
Beliau juga mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu, menghampiri atau menghubungi wanita terbabit sehingga perbicaraan kes selesai dan menetapkan 18 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mencampuri siasatan membabitkan syarikat GISBH.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya tidak melihat sebarang elemen rasuah membabitkan siasatan yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Yang ini kita serah kepada pihak polis kerana saya tak nampak isu rasuah di sini.
“Jadi pihak polis boleh meneruskan siasatan tanpa campur tangan daripada SPRM,” katanya pada sidang media pada 18 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg