Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan terhadap Global Ikhwan diperluas

Jawatankuasa Khas panggil bekas pengikut GISBH untuk siasat doktrin fahaman kumpulan yang didakwa terkait ajaran sesat
Sep 16, 2024 | 5:30 PM
Keadaan lengang dan sepi di sekitar Pusat Jagaan Baitul Mahabbah Seremban 2, Negeri Sembilan, selepas diserbu polis, bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak dan agama yang dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Keadaan lengang dan sepi di sekitar Pusat Jagaan Baitul Mahabbah Seremban 2, Negeri Sembilan, selepas diserbu polis, bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak dan agama yang dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH). - Foto BERNAMA

Pembongkaran kes penganiayaan dan serangan seksual terhadap ratusan kanak-kanak serta remaja yang berlindung di 20 rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), membawa kepada lebih banyak siri pendedahan salah laku yang mengejutkan.

Walaupun awalnya GISBH keras menafikan tuduhan ada rumah amal di bawah kendaliannya terlibat kes liwat dan eksploitasi kanak-kanak, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, akhirnya mengakui beberapa kes liwat pernah berlaku membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.

Pihak berkuasa dijangka melakukan serbuan terhadap lebih banyak rumah amal dikaitkan dengan GISBH dengan sebanyak 39 lagi rumah amal diletakkan dalam radar pemantauan polis berkait dakwaan pengabaian dan salah laku seksual terhadap penghuninya.

Terkini, bekas pekerja GISBH – kumpulan perniagaan bermotifkan agama itu – mendakwa tidak pernah menerima gaji sepanjang tempoh 10 tahun bekerja dengan syarikat itu.

Mereka sebaliknya mendakwa hanya diberikan makan minum dan tempat tinggal untuk keluarga, biarpun GISBH yang mempunyai pelbagai rangkaian perniagaan dilaporkan memperoleh pendapatan bulanan dianggarkan lebih RM2 juta ($602,185) sebulan.

Menurut laporan Harian Metro, pendapatan itu hasil ‘bayaran mahar’ daripada zon yang dibahagikan kepada 58 zon, dengan setiap zon diwajibkan memberi Pendapatan Kumpulan Harian (PKH) RM1,500 sehari.

Tidak cukup itu, serbuan polis telah menemui beberapa barangan ‘berkat’ di rumah kebajikan dikaitkan dengan GISBH, termasuk barangan seperti bekas darah bekam pemimpin, kertas tisu, cebisan kain, rambut termasuk milik kepimpinan kanan.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan barangan berkenaan dipercayai milik GISBH, sekali gus menguatkan dakwaan mengaitkan kumpulan perniagaan itu dengan sejarahnya dalam kes ajaran sesat Al-Arqam dan Rufaqa, yang telah difatwakan haram oleh pihak berkuasa agama Malaysia.

Mufti Pulau Pinang dan Mufti Pahang sepakat menyifatkan paksaan seorang pemimpin supaya pengikut mensucikannya atau mengambil berkat menerusi barangan peribadi seperti rambut, bekas darah dan sebagainya adalah perbuatan melampau atau ghuluw.

Menyusuli itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jawatankuasa Khas akan memanggil bekas pengikut GISBH bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan berkenaan dalam masa segera.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, pula berkata satu mesyuarat khas dipengerusikan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan diadakan pada 17 September bagi membincangkan tindakan lanjut berhubung isu GISBH.

GISBH ditubuhkan daripada saki-baki Al-Arqam yang diasaskan Allahyarham Ashaari Muhammad, yang dijenamakan semula dengan sebelumnya ia dikenali sebagai Rufaqa Corporation.

Syarikat itu mempunyai rangkaian perniagaan padu sehingga membentuk beberapa cabang perniagaan di serata dunia, sehingga tertubuhnya Pusat Perniagaan Ikhwan di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, selain Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah, sebuah resort di bawah GISBH di Arab Saudi.

Pada 11 September lalu, Malaysia dikejutkan dengan tindakan pasukan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun daripada 20 rumah amal didakwa kendalian GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengejutkan apabila ada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan daripada 20 rumah amal dikendalikan GISBH itu mendakwa mereka dieksploitasi, diajar dan dipaksa melakukan liwat. Ujian perubatan terhadap 13 daripada ratusan kanak-kanak dan remaja terbabit mendapati mangsa pernah diliwat.

Selain itu, kanak-kanak dan remaja yang berlindung di rumah amal terbabit dikatakan menjalani proses pertumbuhan yang ‘pelik’ apabila dipisahkan daripada keluarga dan ibu bapa seawal usia dua tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg