Kes liwat, dera dan penganiayaan terhadap penghuni 20 rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, yang mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh.
Sultan Ibrahim menegaskan beliau memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan di media berkait rumah amal dipercayai dikendalikan kumpulan perniagaan bermotifkan agama itu.
“Perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.
“Saya menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati.
“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” kata Sultan Ibrahim dalam kenyataan di Facebook rasminya.
Pada 11 September lalu, Malaysia dikejutkan dengan kejayaan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun daripada 20 rumah amal didakwa kendalian GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, menerusi Op Global.
Mengejutkan apabila ada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan mendakwa mereka dieksploitasi, diajar dan dipaksa melakukan liwat.
Ujian perubatan terhadap 13 daripada ratusan kanak-kanak dan remaja terbabit mendapati mangsa pernah diliwat.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan PDRM telah menghantar tiga kertas siasatan berkait GISBH ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September, untuk tindakan lanjut.
Kertas siasatan itu membabitkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak, serta Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.
Tan Sri Razarudin turut memaklumkan, polis telah membekukan 96 akaun bank dan pelbagai aset membabitkan GISBH bernilai lebih RM581,552 ($176,020).
Jelas beliau, pihaknya juga mengeluarkan perintah larangan kepada pimpinan dan pengurusan tertinggi GISBH daripada meninggalkan Malaysia, sebaik kertas siasatan pertama dibuka.
“Setakat ini pengurusan tertinggi GISBH masih belum diambil keterangan, tetapi kita tidak menolak kemungkinan memanggil Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, mengikut keperluan berlandaskan siasatan dijalankan,” ujarnya.
Tan Sri Razarudin mengesahkan siasatan terhadap GISBH dijangka turut menjurus ke arah jenayah terancang, namun ketika ini PDRM masih menumpukan pada kertas siasatan yang dibuka pada fasa pertama dan kedua siasatan Op Global.
Menurutnya, sebanyak 30 kertas siasatan lain berkait GISBH masih dalam siasatan dengan setakat ini seramai 740 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes membabitkan 30 pengadu, saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102).
Seorang penjaga rumah amal kendalian GISBH yang tular di media sosial selepas disyaki melakukan penderaan, adalah antara 171 kakitangan yang ditahan dalam Op Global pada 11 September lalu.
Polis telah mengenal pasti ibu bapa kepada 392 kanak-kanak yang diselamatkan, bagaimanapun, mengejutkan apabila ada dalam kalangan mereka memberi alasan tidak mengetahui anak mereka menjadi mangsa.
Malah, ada ibu bapa tidak mengakui anak mereka memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa mereka adalah anak yatim.
“Siasatan juga mendapati, sebilangan kanak-kanak ini telah pun ‘dibinkan’ dengan Abdullah yang mana mereka tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan sama ada anak mereka atau tidak,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg