Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli politik, Tan Sri, tokoh perniagaan antara terbabit tunggakan cukai jalan kenderaan mewah RM35.7j

Sep 24, 2025 | 5:52 PM
Encik Anthony Loke
Encik Anthony Loke - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Mereka yang bergelar Tan Sri, ahli politik, ahli perniagaan ternama antara pemilik kenderaan mewah yang dikesan belum memperbaharui cukai jalan dengan tunggakan keseluruhan mencecah RM35.7 juta ($10.9 juta).

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata angka itu berdasar lima jenis kenderaan mewah dimiliki mereka yang berada dalam data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, hasil semakan berdasarkan lima jenis kenderaan mewah itu mendapati sebanyak 345 kereta jenis Rolls-Royce, Lamborghini (372), Bentley (660), Ferrari (675) dan Porsche (4,308), tidak memperbaharui cukai jalan.

“Semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat ada dalam sistem JPJ dan walaupun ada dalam kalangan mereka bergelar Tan Sri, ahli politik atau ahli perniagaan ternama, saya tidak akan umumkan nama kerana tidak mahu memalukan sesiapa.

“Saya hanya mohon mereka menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan. Jika kenderaan itu masih digunakan di atas jalan raya, mereka wajib membayar lesen kenderaan motor (LKM) dan mempunyai insurans yang sah,” katanya pada sidang media di sini pada 24 September, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Encik Loke berkata berdasarkan data JPJ, terdapat 345 Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan sebanyak RM6.4 juta, 372 Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).

Beliau berkata JPJ sebelum ini sudah melaksanakan Ops Luxury menyita kenderaan mewah didapati tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah.

Katanya, kenderaan itu tidak dibenarkan berada di atas jalan raya sehingga pemilik melunaskan tunggakan.

“Operasi ini bukan bertujuan memalukan sesiapa tetapi memberi mesej bahawa semua pihak, tanpa mengira status, ada tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang.

“Jika kenderaan itu aktif, tiada alasan untuk tidak memperbaharui cukai jalan. Tetapi jika ia tidak digunakan lagi, pemilik boleh lupuskan daripada sistem,” jelasnya.

Encik Loke berkata ada pemilik yang sengaja menunggu sehingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran kompaun RM300 masih berbaloi berbanding jumlah cukai jalan yang perlu dibayar.

“Jika sikap ini berterusan, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih drastik dan saya memberi peringatan awal untuk mereka perbaharui cukai jalan.

“JPJ sudah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun tidak semua kes disiarkan di media, operasi ini berjalan secara berterusan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg