Topik diikuti
Pergi ke BHkuAhmad Zahid: Senarai calon BN bagi PRN Johor dimuktamadkan dalam masa terdekat
Ahmad Zahid: Senarai calon BN bagi PRN Johor dimuktamadkan dalam masa terdekat
Ahmad Zahid: Senarai calon BN bagi PRN Johor dimuktamadkan dalam masa terdekat
ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai penuh calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh terdekat.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata proses rundingan mengenai pembahagian kerusi melibatkan parti-parti komponen juga kini berada pada peringkat akhir dan hampir diselesaikan.
“Kita akan muktamadkan (senarai calon) dalam waktu yang tidak begitu lama dari sekarang. Pembahagian kerusi kita hampir dimuktamadkan dan calon daripada parti-parti komponen Barisan Nasional saya akan runding masa saya ada di Johor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, pada 7 Jun.
Mengulas mengenai penyertaan semula bekas-bekas pemimpin parti, Datuk Ahmad Zahid menyifatkan perkembangan penubuhan ‘Rumah Bangsa’ sebagai satu suntikan moral yang luar biasa buat jentera gabungan berkenaan.
Datuk Ahmad Zahid berkata bahawa sebahagian besar daripada mereka telah pun mengadakan pertemuan rasmi bersama beliau dan menawarkan diri secara sukarela untuk turun padang bagi memenangkan calon-calon BN.
“Rumah Bangsa telah menerima sambutan yang sangat luar biasa. Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin lama daripada UMNO yang telah bertukar arah satu ketika dahulu kini kembali, malah mereka telah menawarkan diri untuk membantu memenangkan calon Barisan Nasional.
“Apa yang lebih mengagumkan ialah impak dalam kalangan anak muda apabila golongan ini merangkumi kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima parti,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata gabungan pengaruh tokoh-tokoh veteran serta sokongan gelombang baharu pengundi muda mampu menggamit undi, termasuk daripada kumpulan pengundi berumur 18 tahun (Undi18) serta pengundi muda yang lain untuk memastikan kemenangan mutlak BN di Johor.
Sebelum ini, BN Johor mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.
Pada PRN Johor 2022, UMNO-Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi, Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu). – Bernama.
