Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor jadi medan ujian, penentu arah politik jelang PRU akan datang
Johor jadi medan ujian, penentu arah politik jelang PRU akan datang
Pengamat: Setiap parti bawa taruhan berbeza, mampu ubah formula kuasa di peringkat persekutuan
Johor jadi medan ujian, penentu arah politik jelang PRU akan datang
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari, akan menjadi medan ujian bagi pelbagai parti yang bertanding.
Ia sekali gus memberi bayangan tentang tahap sokongan dan ramalan keputusan yang akan mencorakkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata pengamat politik.
Langkah bertarung kini mula diatur menyusuli pengumuman pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 1 Jun secara rasminya, namun parti-parti yang bakal bertanding masih lagi menyimpan strategi masing-masing buat masa ini.
Bahkan, Johor bukan satu-satunya negeri yang bakal melalui pilihan raya.
Negeri Sembilan kini turut menyertai medan tempur sama, sekali gus melonjakkan suhu pertaruhan di peringkat negeri dan persekutuan buat pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pengamat politik yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata PRN Johor kali ini membawa implikasi strategik yang sangat besar kepada tiga pakatan utama: Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Di sebalik kerancakan kempen yang bakal bermula, setiap parti membawa pertaruhan berbeza yang mampu mengubah formula kuasa di peringkat persekutuan, kata mereka.
Bagi BN – dan khususnya parti utamanya, Umno – Johor merupakan kubu kuat yang berkembang pesat, selepas mereka berjaya menang besar dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi dalam PRN lalu pada 2022.
Sebaliknya, bagi PH, Johor adalah medan tempur yang mempertaruhkan masa depan politik mereka, memandangkan mereka hanya memegang 12 kerusi sebelum pembubaran DUN.
Sementara itu, PN pula dilihat sebagai pencabar tidak dijangka (wildcard) yang memegang tiga kerusi.
PN Johor sebelum ini telah menyatakan ia kini di ambang memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya, dengan 80 peratus pembahagian kerusi telah selesai.
Ketiga-tiga BN, PH dan PN telah menyatakan bahawa mereka akan bertanding di semua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang.
Dalam pada itu, kehadiran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), yang mahu mempertahankan kerusi tunggalnya, serta kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, bakal menjadi ‘pengacau daun’ yang mampu memecahkan undi.
BINA MOMENTUM
Pengamat memberitahu BH bahawa PRN Johor bertindak sebagai ujian pra-PRU, yang mana keputusannya akan menentukan rundingan peringkat persekutuan pada masa hadapan.
Pakar geostrategi dan zamil kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, menilai langkah membubarkan DUN Johor lebih awal sebagai strategi membina momentum dan menjadi pemangkin untuk menghadapi PRN seterusnya di negeri-negeri lain, sebelum kemuncak di PRU16.
“Keputusan yang memberangsangkan bagi BN di Johor akan digunakan sebagai momentum untuk Melaka seterusnya dan mungkin selepas itu, untuk kerajaan negeri DUN Perak dan juga DUN Pahang dan seterusnya untuk PRU ke-16.
“Jadi itu strategi yang diguna pakai BN, yang mengharapkan keputusan landslide (kemenangan besar) yang memberangsangkan di Johor melebihi 40 kerusi seperti yang dinyatakan oleh Zahid Hamidi, Presiden Umno,” kata beliau.
Bahkan, hanya empat hari selepas Johor mengumumkan pembubaran DUN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, turut mengambil langkah serupa dengan mengumumkan pembubaran DUN negeri itu yang berkuat kuasa 5 Jun.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya, berkata PRN Johor akan datang harus ditafsir sebagai pilihan raya pra-PRU, dan bukan sekadar pilihan raya negeri.
Ini kerana Johor mempunyai beberapa ciri nasional – kawasan Melayu luar bandar, bandar campuran, pengundi Cina bandar, pengundi muda, pekerja rentas sempadan, kelas menengah baharu, dan kawasan ekonomi strategik yang berkait langsung dengan Singapura.
“Jika BN menang selesa, ia akan menjadi ‘modal rundingan’ Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika kerusi PN meningkat mendadak, ia akan menjadi amaran bahawa gelombang Melayu pembangkang masih hidup.
“Jika PH kehilangan banyak kerusi bandar atau campuran, ia akan menimbulkan persoalan tentang kekuatan PH sebagai rakan strategik PM (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) menjelang PRU,” terang beliau.
‘KERUSI PANAS’ YANG PERLU DIPERHATIKAN
Antara kawasan yang menjadi tumpuan kini terarah kepada kerusi bandar dan campuran di selatan Johor seperti Larkin, Skudai dan Puteri Wangsa, kata pengamat.
Profesor Awang Azman berkata Larkin merupakan simbol orang Melayu bandar dan kawasan pentadbiran/politik Johor Bahru.
Larkin dimenangi calon BN-Umno, Encik Mohd Hairi Mad Shah, dalam PRN 2022 dengan 41.8 peratus undi.
“Larkin termasuk kerusi BN yang tidak terlalu selamat. Ia signifikan kerana mencerminkan sentimen Melayu bandar, penjawat awam, belia dan pengundi kelas menengah,” kata beliau.
Sementara itu, Skudai, Stulang, Johor Jaya dan Perling pula adalah kawasan bandar/campuran yang penting kepada PH, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Skudai baru-baru ini menjadi tumpuan apabila penyandangnya, Cik Marina Ibrahim, daripada DAP mengumumkan keputusan tidak mempertahankan kerusinya dalam PRN 2026 dan berundur daripada arena politik – menimbulkan tanda tanya siapakah calon yang bakal menjadi pengganti.
“Jika PH bertahan kuat, ia menunjukkan pengundi bandar masih setia. Jika berlaku kemerosotan, ia menandakan wujud keletihan politik atau bantahan terhadap prestasi kerajaan persekutuan,” ujar Profesor Awang Azman.
Zamil kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, pula berkata kelompok kerusi di selatan Johor secara tradisinya merupakan kubu kuat bagi kedua-dua BN dan PH.
“Adakah BN di bawah MB (Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz) yang muda dan dinamik ini akan membuat lebih banyak kemajuan, atau adakah PH akan terus menguasai kerusi bandar ini – iaitu kerusi yang berdekatan dengan Singapura?
“Atau adakah PH akan tewas teruk, tidak semestinya kepada BN, tetapi katakanlah, jika parti Bersama pimpinan Rafizi bertanding dan memenangi beberapa kerusi?” kata Dr Oh.
Dalam 40 kerusi yang dimenangi BN dalam PRN 2022, sekitar separuh daripadanya diperoleh tanpa meraih majoriti undi, mencerminkan bagaimana perpecahan undi pembangkang membantu meningkatkan jumlah kerusi yang diraih gabungan tersebut.
Contohnya, BN memperoleh hanya 32.1 peratus daripada jumlah undi keseluruhan bagi kerusi DUN Bukit Pasir – sebahagian kawasan Parlimen Pagoh yang diwakili Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peratusan itu lebih tinggi sedikit sahaja berbanding undi yang diraih PN (31 peratus), diikuti PH yang berjaya mendapat 24.8 peratus undi.
Dalam pada itu, tujuh daripada 12 kerusi yang dimenangi PH dalam PRN 2022 pula adalah di kawasan di mana mereka tidak memperoleh lebih 50 peratus daripada undi keseluruhan, termasuk Bukit Batu di kawasan Parlimen Kulai, Simpang Jeram di Bakri, dan Tangkak.
Sementara itu, kedua-dua Profesor Awang Azman dan Profesor Azmi menarik perhatian tentang Puteri Wangsa, yang menjadi sasaran pertembungan pelbagai penjuru berikutan perpecahan antara PH dengan Muda.
Dalam PRN 2022, Puteri Wangsa dimenangi calon Muda, Cik Amira Aisya Abdul Aziz.
“Mantannya ialah wakil Muda yang menang kerana pertolongan PH pada 2022, tetapi kini Muda berpisah dengan PH dan ini bukan saja menjadi rebutan oleh PH, malah BN-Umno.
“Oleh itu, saya anggap kerusi ini menjadi perhatian dan boleh dikategorikan sebagai kerusi panas,” kata Profesor Azmi.
TARUHAN POLITIK SEBENAR
Namun begitu, beliau berkata taruhan politik sebenar PRN Johor bukan sekadar siapa menang dan siapa kalah pada malam keputusan.
Yang lebih besar ialah siapa berjaya menguasai naratif politik Melayu selatan, kestabilan kerajaan negeri, dan keyakinan pelabur menjelang PRU akan datang, katanya.
Bagi BN, Profesor Awang Azman berkata Johor adalah medan psikologi paling penting.
Dengan kemenangan besar mereka dalam PRN 2022, ia menjadikan Johor negeri simbolik bahawa Umno-BN masih mampu berdiri kuat apabila jentera tradisional, calon tempatan dan sentimen kestabilan digerakkan secara berkesan.
Sekiranya BN mampu mempertahankan majoriti besar, ia akan mengukuhkan dakwaan bahawa BN masih relevan sebagai parti Melayu arus perdana.
Tetapi jika sebaliknya pula, ia akan memberi isyarat bahawa sokongan Melayu telah bergerak lebih jauh kepada PN.
Bagi kerajaan persekutuan pula, Profesor Awang Azman berkata PRN Johor adalah ujian hubungan PH-BN.
Walaupun Johor diperintah BN, Putrajaya bergantung pada kestabilan kerajaan perpaduan.
“Jika BN dan PH bertembung terlalu keras di Johor, ia boleh mencetuskan kekeliruan pengundi – ‘berlawan di negeri, berkawan di pusat’.
“Namun jika kerjasama atau persefahaman strategik dapat dikawal, PRN ini boleh menjadi latihan awal kepada formula PRU akan datang,” kata beliau.
