Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kian terasa. Barisan Nasional (BN) bakal melancarkan jentera pilihan rayanya pada 7 Jun ini di Stadium Educity, Kota Iskandar, Johor Bahru, dengan senarai calon dijangka diumumkan seminggu sebelum hari penamaan.

Ketua Penerangan Umno Johor, Encik Israk Abdullah, berkata Majlis Pelancaran Jentera BN itu akan dilakukan Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermula 3.30 petang.

Encik Israk menyeru ahli parti dan penyokong memeriahkan majlis berkenaan yang akan turut dihadiri Pengerusi BN Johor yang juga ‘poster boy’ parti, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menerusi kenyataan di Facebook, Encik Israk berkata, majlis pelancaran itu akan menjadi titik permulaan kepada gerak kerja menyeluruh jentera BN di seluruh negeri itu.

Menurutnya, pelancaran tersebut bukan sekadar simbolik dan tradisi parti, malah mencerminkan kesiapsiagaan dan kesatuan jentera parti dalam menghadapi PRN Johor.

“Kehadiran anda bukan sekadar memenuhi ruang stadium, tetapi menjadi bukti bahawa semangat perjuangan BN terus kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat dan menunjukkan kekuatan jentera, kesatuan ahli serta iltizam untuk memastikan Johor terus maju, stabil dan makmur.

“Ia juga tanda sokongan dan solidariti kepada kepimpinan yang telah membawa kestabilan, kemakmuran serta pembangunan berterusan kepada negeri Johor,” katanya dalam kenyataan itu.

Datuk Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor pada 1 Jun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus memberi laluan PRN Johor ke-16 diadakan.

Tarikh PRN Johor akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Sementara itu media Malaysia melaporkan, Datuk Ahmad Zahid berkata, senarai calon bertanding yang akan diumumkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon akan mengekalkan konsep WALI yang menjadi tradisi parti selama ini.

WALI merujuk kepada calon ‘winnable’ (boleh menang); ‘acceptable’ (boleh diterima oleh pengundi dan parti) dan likeable’ (disenangi masyarakat) sebagai teras utama pemilihan.

Dalam satu majlis di Putrajaya pada 4 Jun, Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, senarai penuh calon BN yang akan bertanding dalam PRN Johor sedang dinilai sebaiknya dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“BN akan menerapkan elemen kombinasi yang seimbang antara pemegang jawatan sedia ada dengan penampilan muka-muka baru dalam PRN Johor,” katanya.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN secara keseluruhan, di mana BN berjaya menguasai 40 kerusi pada siri PRN ke-15 yang diadakan pada Mac 2022, sekali gus membentuk pentadbiran negeri yang kukuh.

Keputusan pilihan raya lalu turut menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, manakala blok Perikatan Nasional (PN) sekadar mendapat tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memenangi satu kerusi.

Menjelang PRN Johor kali ini, BN dan PH yang kini bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah menyatakan iltizam untuk bersaing secara bersendirian di kesemua 56 kawasan yang dipertandingkan.