JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau dan mengenal pasti individu yang membuang sampah secara haram, khususnya di kawasan perniagaan dan pusat komersial yang sering menerima aduan berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata usaha itu akan dimulakan menerusi projek rintis di Taman Johor Jaya yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berdepan isu pembuangan sampah merata-rata.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut melibatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi AI yang mampu mengesan serta mengenal pasti wajah pelaku yang terlibat.
“Kawasan komersial di Taman Johor Jaya merupakan antara kawasan yang paling banyak menerima aduan berhubung masalah sampah bertimbun dan tidak diselenggara dengan baik.
“Walaupun pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan secara berkala, masalah ini masih berulang.
“Oleh itu, kami mengambil pendekatan baru dengan menggunakan kamera AI bagi tujuan pemantauan dan juga sebagai bahan bukti,” kata Encik Ling kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan.
Tambahnya, kamera pintar yang digunakan dalam projek ini boleh mengezum dan mengenal pasti wajah individu yang melakukan kesalahan, seterusnya membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih tepat dan berkesan, lapor Kosmo!.
Langkah itu, ujarnya, sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan tahap kebersihan bandar raya Johor Bahru dan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Inisiatif itu juga dijangka diperluas ke kawasan lain yang menghadapi masalah sama, sekiranya projek rintis itu membuahkan hasil positif.
“Pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan untuk mencari penyelesaian jangka panjang, dari penguatkuasaan lebih tegas, semakan undang-undang, sampailah kepada usaha mendidik masyarakat untuk lebih sayang dan jaga alam sekitar.
“Kita juga menggalakkan lebih banyak penggunaan teknologi moden untuk bantu pantau, cegah dan menguatkuasakan undang-undang secara lebih efisien,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg