Kerajaan Johor akan melaksanakan pendekatan lebih tegas dan menyeluruh bagi menangani isu pembuangan sampah haram, selaras dengan perintah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang mahu tindakan keras dikenakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai dan persekitaran negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kenyataan Tunku Mahkota Johor baru-baru ini jelas menunjukkan sudah tiba masanya kerajaan negeri berhenti bertolak ansur terhadap kesalahan membuang sampah sesuka hati, khususnya ke dalam sungai dan di jalanan.
“Statistik pada 2024 menunjukkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil tindakan terhadap 2,206 kes pembuangan sampah dengan jumlah kompaun yang dikenakan sebanyak RM654,210 ($199,339).
“Sehingga April 2025 pula, 634 kes lagi telah direkodkan melibatkan kompaun berjumlah RM202,700,” katanya semasa sesi penggulungan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 26 Mei.
Beliau berkata Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara setahun bagi kesalahan pembuangan sampah, selain denda tambahan RM500 sehari untuk kesalahan berulang.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) pula memperuntukkan denda sehingga RM100,000 bagi pencemaran air.
“Namun begitu, undang-undang ini perlu diperhalusi semula. Jika dibandingkan dengan negara lain, kita masih jauh ketinggalan dari segi ketegasan dan pendekatan penguatkuasaan,” katanya.
Menurut beliau, Singapura mengenakan denda antara $2,000 hingga $50,000, termasuk hukuman kerja pembersihan awam dan pendedahan awam.
Korea Selatan pula mengenakan denda sehingga 100 juta won ($93,838) dan penjara sehingga tujuh tahun, dengan penggunaan teknologi seperti sensor IoT dan CCTV.
Jepun pula memperuntukkan denda sehingga 10 juta yen ($90,120) dan penjara sehingga lima tahun melalui undang-undang seperti ‘Waste Management and Public Cleansing Law’.
“Mungkin sebab itu negara-negara ini bersih,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kesal apabila melihat masih ada pihak yang membuang sampah ke dalam sungai di negeri itu.
“Saya kesal apabila mendengar dan melihat sendiri apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dalam sungai baru-baru ini. Sedangkan wang rakyat yang dibelanjakan untuk pembersihan sungai itu sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg