Di sebalik kesyahduan Aidiladha dan kemuliaan ibadah korban, pengusaha kecil dan peniaga, menanti penuh debar.

Musim perayaan ini menjanjikan lonjakan rezeki yang luar biasa, melangkaui hasil jualan harian mereka.

Setiap kali Aidiladha menjelang, permintaan melonjak mendadak bagi khidmat yang berkait rapat dengan ibadah korban, merangkumi pengasahan pisau, penjualan alatan sembelihan dan melapah, malah perkhidmatan memasak daging korban itu sendiri.

Khidmat Pelanggan Tauke Pisau by Gearevo di KL

Lonjakan permintaan ini turut dirasai oleh Pengurus Khidmat Pelanggan Tauke Pisau by Gearevo di Kuala Lumpur (KL), Encik Muhammad Haris Hasnuddin.

Beliau menyaksikan jualan pisau sembelihan, melapah, serta khidmat mengasah pisau melonjak berkali ganda menjelang Aidiladha.

Menurut Encik Muhammad Haris, pada hari biasa, jualan pisau sembelihan dan melapah bergerak perlahan, hanya mencatat purata satu pembelian seminggu.

Namun, permintaan melonjak begitu ketara, mencecah lebih 400 bilah pisau terjual sehari, beberapa bulan sebelum perayaan tiba.

“Ketika musim Raya Haji, jualan minimum harian bagi pisau sembelih dan melapah, berharga antara RM100 ($32) dengan RM400 di platform dalam talian, mampu mencecah 400 unit. Jumlah ini belum mengambil kira pelanggan yang datang terus ke kedai,” katanya.

“Selain itu, perkhidmatan mengasah pisau menerima minimum 30 bilah pisau setiap hari,” ujar beliau ketika ditemui Berita Harian (BH) di Cheras, KL.

Pengurus Khidmat Pelanggan Tauke Pisau by Gearevo, Encik Muhammad Haris Hasnuddin (kanan),. dan Pengurus Operasi, Encik Adam Ariff (dua dari kanan) melayani pelanggan, Encik Muhammad Nadhir Adha Darus, dari Selayang, Selangor, untuk mengukir nama pada pisau melapah.
Pengurus Khidmat Pelanggan Tauke Pisau by Gearevo, Encik Muhammad Haris Hasnuddin (kanan),. dan Pengurus Operasi, Encik Adam Ariff (dua dari kanan) melayani pelanggan, Encik Muhammad Nadhir Adha Darus, dari Selayang, Selangor, untuk mengukir nama pada pisau melapah. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Lonjakan permintaan itu, ujar Encik Muhammad Haris, berpunca daripada strategi proaktif yang dimulakan seawal tiga bulan sebelum perayaan, termasuk memanfaatkan wadah digital.

Mereka mengutamakan jualan dalam talian, berbanding fizikal, malah sanggup bersiaran langsung di media sosial sehingga 16 jam sehari menjelang Aidiladha.

“Pelanggan di kedai fizikal hanya mula membanjiri premis kami apabila tarikh Raya Korban semakin hampir,” jelasnya.

Justeru, bagi menampung permintaan saat akhir, kedai beroperasi 24 jam sehari selama tiga hari sebelum Aidiladha.

Beliau turut mendedahkan, perniagaan mereka turut menjangkau pelanggan antarabangsa, termasuk dari Singapura dan beberapa negara Eropah.

Encik Kamarulzaman Hashim (kiri) dan Pengurus Pengeluaran di Tauke Pisau by Gearevo, Encik Amir Ridhwan Mohd Ghazali, tekun melakukan tugas mengasah pisau.
Encik Kamarulzaman Hashim (kiri) dan Pengurus Pengeluaran di Tauke Pisau by Gearevo, Encik Amir Ridhwan Mohd Ghazali, tekun melakukan tugas mengasah pisau. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Mengenai khidmat asah pisau, Encik Muhammad Haris menjelaskan pasukannya menggunakan tiga mesin khas berteknologi moden bagi menjamin proses yang sistematik dan teratur.

Tempoh mengasah setiap bilah hanya lima hingga 30 minit, bergantung pada keadaan mata pisau.

“Kerosakan teruk, seperti sumbing yang dalam atau bilah panjang, memerlukan pemulihan lebih rumit dan caj yang lebih tinggi,” katanya.

Caj perkhidmatan bermula daripada RM15 (sekitar $5) hingga RM70, mengikut saiz dan tahap kerosakan bilah.

Meskipun prosesnya pantas, pelanggan lazimnya perlu menunggu dua hingga tiga hari untuk mendapatkan kembali pisau mereka akibat jumlah tempahan yang melimpah menjelang Hari Raya Korban.

Beliau berkata, perniagaan itu diasaskan bapanya, Encik Hasnuddin Abu Samah, 51 tahun, sejak 2016 selepas menamatkan perniagaan fotografi yang diusahakan sebelum ini.

Menurutnya, perniagaan keluarga itu pada asalnya menggunakan nama Gearevo dan lebih tertumpu pada jualan pisau outdoor (seperti kegunaan kegiatan bagi mendaki dan kembara hutan), pisau lipat dan pisau ‘Rambo’ yang sering dijadikan koleksi oleh pengumpulnya, selain pisau melapah.

“Namun, apabila kami kaji semula, pelanggan untuk pisau outdoor dan pisau sembelihan serta melapah sebenarnya berbeza. Sebab itu kami wujudkan satu jenama khas iaitu Tauke Pisau yang fokus kepada pisau kegunaan sembelihan dan melapah haiwan,” katanya.

Pengurus Operasi Tauke Pisau by Gearevo, Encik Adam Ariff, 44 tahun.
Pengurus Operasi Tauke Pisau by Gearevo, Encik Adam Ariff, 44 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pengurus Operasi Tauke Pisau by Gearevo, Encik Adam Ariff, 44 tahun, mendedahkan premis mereka gah sebagai hab pisau terlengkap di Malaysia, dengan bekalan yang diimport dari negara seperti Jerman.

Menjelang musim Aidiladha, syarikat itu melantik 40 pekerja sambilan tambahan bagi melancarkan operasi yang melonjak.

Kami tidak menang tangan,” ujar beliau, sambil menambah khidmat tambahan seperti pembuatan sarung dan ukiran nama pada pisau turut disediakan.

Khidmat ukir nama hanya dikenakan caj RM20, dan menjadi pilihan ramai bagi mengelak pisau mahal mereka hilang atau tertukar, katanya.

Beliau menambah, pisau sembelihan juga terbahagi kepada dua jenis, iaitu jenis sembelihan secara menarik pisau atau menolak pisau.

“Justeru penyembelih lembu korban perlu tahu teknik sembelihan yang mereka gunakan, supaya tidak tersilap membeli pisau yang boleh menganggu kelancaran kaedah sembelihan yang betul,” katanya.

ASAH TRADISIONAL DI KAMPONG SENTOSA, NEGERI SEMBILAN

Sementara itu, di Kampung Sentosa, Seremban, Negeri Sembilan, kemeriahan Aidiladha membawa rezeki melimpah kepada seorang warga emas.

Pada usia 64 tahun, Encik Ahmad Nazari Abdullah, masih ligat mengambil upah mengasah pisau, dengan tempoh menjelang Hari Raya Korban menjadi musim paling sibuk dan menguntungkan baginya.

Tukang asah yang berkhidmat selama hampir 25 tahun itu menyaksikan lonjakan mendadak dalam permintaan.

Setiap kali Aidiladha menjelang, pelanggan berpusu-pusu datang ke kediamannya, ingin membaiki dan menajamkan semula bilah sembelihan serta melapah mereka.

Encik Ahmad Nazari mendedahkan, “Kebiasaannya lebih 160 pelanggan datang mendapatkan khidmat saya. Menjelang Aidiladha dan musim mantai (tradisi menyembelih dan melapah lembu untuk Ramadan dan Aidilfitri di Negeri Sembilan), memang ini rezeki ‘terpijak’ buat saya.”

Penyedia khidmat mengasah pisau di Seremban, Negeri Sembilan, Encik Ahmad Nazari Abdullah, menunjukkan pisau yang dihantar pelanggannya untuk dibaiki dan ditajamkan semula bagi kegunaan melaksanakan ibadah korban.
Penyedia khidmat mengasah pisau di Seremban, Negeri Sembilan, Encik Ahmad Nazari Abdullah, menunjukkan pisau yang dihantar pelanggannya untuk dibaiki dan ditajamkan semula bagi kegunaan melaksanakan ibadah korban. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Encik Ahmad Nazari menerima pelbagai bilah – daripada pisau kecil untuk melapah hingga pisau panjang untuk sembelihan.

Kadar upah, yang ditetapkan mengikut keadaan, bermula daripada RM30 untuk standard, dan boleh mencecah RM60 bagi bilah berkarat atau sumbing yang memerlukan kerja lebih rumit.

Menariknya, beliau masih mempertahankan kaedah mengasah secara tradisional.

Minat itu berputik sejak kecil, diwarisi daripada datuknya, seorang penoreh getah.

Beliau tidak menyangka kemahiran itu akan menjadi sumber rezeki utamanya.

Klien beliau sebahagian besarnya adalah penduduk bandar Seremban yang kurang mahir mengasah sendiri.

Kebanyakan bilah yang tiba di tangannya berada dalam keadaan menyedihkan kerana disimpan setahun tanpa penjagaan rapi selepas musim korban lalu.

“Selepas digunakan, mereka simpan setahun. Apabila hendak guna semula, barulah dihantar untuk diasah, sebab itu banyak yang berkarat,” jelas beliau.

Beliau mengingatkan, sifat besi mudah berkarat jika tidak dijaga. Maka itu, pemeriksaan dan pembersihan bulanan adalah perlu.

Beliau turut menyarankan penggunaan pisau keluli tahan karat yang lebih bermutu.

Tempoh mengasah bergantung pada tahap kerosakan. Bilah yang baik hanya mengambil masa setengah jam.

Namun, bagi kerosakan teruk seperti sumbing mendalam, ia memerlukan penggunaan mesin, kertas pasir untuk meratakan, sebelum disempurnakan dengan batu asah.

Ia memakan masa sehingga dua jam untuk satu bilah.

Walaupun kemahiran itu membawa rezeki, Encik Ahmad Nazari, mengakui terdapat juga risiko kecederaan tangan yang sentiasa mengintai.

“Kadang-kadang tengah asah itu boleh luka tangan sendiri,” katanya sambil ketawa kecil.

Namun, beliau mengakui bimbang kerana semakin kurang golongan muda berminat mempelajari kemahiran tradisional itu.

“Kebanyakan anak muda sekarang tak minat kerja macam ini. Anak saya ada lima orang, tapi tidak ada yang betul-betul mahu sambung kerja mengasah pisau,” katanya.

Encik Muhammad Fadhil Mohd Sobri, mula mengambil upah memasak daging korban sejak 2023.
Encik Muhammad Fadhil Mohd Sobri, mula mengambil upah memasak daging korban sejak 2023. - Foto ihsan MUHAMMAD FADHIL MOHD SOBRI

KHIDMAT MASAK DAGING KORBAN

Minat mendalam terhadap dunia masakan membuka lembaran rezeki berganda Aidiladha buat Encik Muhammad Fadhil Mohd Sobri, 28 tahun, lulusan Ijazah Perakaunan dari Universiti Sultan Zainal Abidin.

Sejak 2023, beliau menawarkan khidmat memasak daging korban, sebuah cabang baharu perniagaan Kalut Kafe Katering yang diasaskan dari rumah di Kuala Nerus selepas penutupan kafe asalnya pada 2019.

Prosesnya mudah. Pelanggan menghantar daging, Encik Fadhil memasak, dan juadah siap dihantar pulang.

Gulai kawah, kuzi, dan kari menjadi menu paling didambakan, selain singgang, sup, kurma, dan rendang.

Khidmat itu berterusan sepanjang tempoh korban.

Khusus pada Hari Raya pertama 2025, beliau menerima 1,000 kilogram tempahan daripada tujuh pelanggan.

Bagi 2026 pula, enam pelanggan sudah menempah khidmatnya dalam empat hari.

Meskipun persaingan kian sengit, didorong oleh keadaan ekonomi semasa, Encik Fadhil mengenakan caj RM12 sekilogram.

Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan berada yang memilih kemudahan dalam penyediaan juadah Aidiladha.

Walaupun menerima tempahan yang besar, beliau menegaskan, semua masakan dikendalikannya sendirian, tanpa bantuan pekerja.