Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Air sungai seperti susu berpunca dari kilang kimia di N. Sembilan

May 28, 2024 | 11:43 AM
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemantauan kesan kimia yang mengalir dalam longkang utama di Taman Bandar Senawang, Seremban, selepas menerima aduan penduduk (gambar kiri). Air yang mengalir di longkang utama itu bertukar warna putih susu akibat pencemaran sisa kimia dari kilang berhampiran (gambar kanan).
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemantauan kesan kimia yang mengalir dalam longkang utama di Taman Bandar Senawang, Seremban, selepas menerima aduan penduduk (gambar kiri). Air yang mengalir di longkang utama itu bertukar warna putih susu akibat pencemaran sisa kimia dari kilang berhampiran (gambar kanan). - Foto JABATAN ALAM SEKITAR

SEREMBAN: Kebimbangan penduduk Taman Bandar Senawang di Seremban, Negeri Sembilan, melihat air berwarna putih seakan susu yang mengalir dalam longkang di belakang rumah mereka terjawab apabila ia disahkan berpunca dari sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Senawang.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Encik S Veerapan, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuat rondaan dan siasatan setelah menerima aduan.

“Pasukan rondaan membuat siasatan ke Persiaran Bunga Tanjung 2, Kawasan Perindustrian Senawang dan menyusuri longkang awam berhampiran sebelum masuk ke Taman Bandar Senawang.

“Selepas menyusuri longkang awam, didapati terdapat kesan air putih yang berpunca dari sebuah premis industri.

“Siasatan di dalam premis mendapati air putih yang terhasil berpunca dari longkang di dalam kerja produksi ‘wet milling process’ (proses pengilangan basah),” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Menurut Encik Veerapan premis terbabit tidak mempunyai sistem pengolahan sisa buangan cecair perindustrian (SPEP) dan menggunakan semula air untuk kegunaan basuhan mesin ‘wet mill’.

Tambahnya, premis berkenaan telah diarahkan agar menghentikan mana-mana punca yang menghasilkan pengeluaran air putih dengan serta-merta.

“Pihak JAS telah mengambil satu set persampelan efluen perindustrian (EP) dan satu set persampelan buangan terjadual (BT) di dalam premis. Satu set persampelan BT juga diambil di aliran longkang awam sebelum masuk ke taman perumahan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengesyorkan siasatan susulan bagi tindakan perundangan berkaitan pencemaran itu.

Sebelum ini, media melaporkan air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk di Taman Bandar Senawang menjadi warna putih seakan susu, sejak pagi 26 Mei.

Penduduk mendakwa air sungai terbabit mengeluarkan bau yang menyebabkan rasa loya dan pening kepala seperti pencemaran bahan kimia.

Ia sudah berlaku dua kali dalam tempoh empat tahun. Namun sebelum ini, ia tidak menyebabkan air sungai bertukar warna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg