Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejadian kupang beracun tamparan hebat buat pengusaha di Port Dickson

May 12, 2024 | 5:30 AM
Kebanyakan pengusaha kupang di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan, menggunakan teknik pancang kupang untuk penternakan haiwan laut itu.
Kebanyakan pengusaha kupang di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan, menggunakan teknik pancang kupang untuk penternakan haiwan laut itu. - Foto FACEBOOK PEJABAT PERIKANAN NEGERI SEMBILAN

Selepas puluhan tahun pantai Port Dickson di Negeri Sembilan menjadi antara tempat penternakan kerang dan kupang terkemuka di Malaysia, 2024 menyaksikan puluhan pengusahanya dibadai ujian apabila hasil laut itu tidak boleh dijual kerana beracun.

Dek ujian itu datang ketika waktu puncak permintaan bekalan kerang dan kupang meningkat seminggu sebelum Aidilfitri, pengusahanya kerugian ribuan ringgit kerana dilarang menjual hasil ternakan itu.

Ia menyusuli lapan kes keracunan selepas makan kupang hingga menyebabkan dua kritikal dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson, pada awal April.

Hingga artikel ini ditulis, kupang di perairan pantai Kampung Telok dan Sungai Sekawang, Pasir Panjang, Port Dickson dilaporkan belum selamat untuk dimakan.

Hasil ujian sampel kali kelima Jabatan Perikanan (DOF) ke atas kupang di perairan itu pada 30 April menunjukkan kandungan pencemaran biotoksin pada kupang di situ masih tinggi.

Singapura turut menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson kerana didapati mengandungi biotoksin berbahaya.

Bagaimana kupang itu boleh beracun? Berdasarkan maklumat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Cuaca panas dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan alga itu membiak dengan cepat dan menjadi sumber makanan kepada kupang dan kerang. Kupang dan kerang yang memakan alga tersebut akan mengumpul toksin di dalam tisu cangkerangnya.

Toksin semula jadi yang dihasilkan oleh spesies alga terbabit tidak akan musnah walau kupang dan kerang tersebut telah dimasak atau disejukbekukan, sekali gus boleh menyebabkan keracunan kepada sesiapa yang makan kupang dan kerang beracun.

Individu yang makan kupang dan kerang tercemar dengan toksin ini boleh mengalami gejala ringan seperti muntah, sakit perut dan cirit birit. Dalam kes serius, beliau boleh mengalami komplikasi seperti kesukaran bernafas dan lumpuh.

Bagaimanapun, pembiakan alga berkenaan hanya menjejaskan hasil laut bercengkerang seperti kupang dan kerang, manakala hidupan laut lain, seperti ikan dan udang, masih selamat untuk dimakan.

Bagi seorang pengusaha kupang di Kampung Telok Sinting, Pasir Panjang, Port Dickson, Encik Othman Sulaiman, 41 tahun, kejadian kupang beracun yang kali pertama berlaku sejak puluhan tahun perusahaan kupang dan kerang dijalankan di Port Dickson itu memberi tamparan hebat kepada mereka.

Menurut beliau, lazimnya menjelang Aidilfitri mereka mampu menjual kupang hingga memperoleh pulangan lumayan antara RM5,000 ($1,429) hingga RM10,000, namun pada 2024 mereka dipukul dengan laporan kupang beracun itu.

“Bayangkan ya, biasanya apabila Hari Raya semakin hampir, kita boleh jual kupang hingga beribu ringgit kerana menjadi tradisi di Port Dickson hidangan wajib di pagi Raya ialah rendang kerang dan kupang untuk dimakan bersama ketupat.

“Tapi akibat insiden ini, kami tak dapat menuai hasil yang menjadi sumber pendapatan kami. Jadi terpaksalah beraya tanpa pakaian baru,” ujarnya.

Encik Othman berkata beliau memiliki lebih 400 pancang kupang (teknik ternakan kupang) dengan setiap pancang menghasilkan lebih 20 kilogram kupang.

“Tapi apa boleh buat, bila tiba untuk tuai hasil, ia beracun pula,” katanya, sambil menambah bahawa tempoh penternakan kupang sebelum ia matang dan boleh dijual ialah kira-kira 10 bulan.

Bagi penternak kupang yang turut mengusahakan restoran makanan laut ZZ Santai Seafoods di Port Dickson, Encik Zulkifle Mohamad, 54 tahun, kejadian kupang beracun memberi tekanan kepadanya kerana menanggung kerugian berganda, hingga terpaksa mencari alternatif melakukan kerja kampung, termasuk membuat rakit untuk mencari ikan buat menjana pendapatan.

Menurutnya, sejak beberapa tahun mengusahakan restoran makanan laut, beliau biasanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 setiap malam dengan pendapatan berganda pada setiap hujung minggu hasil menjual pelbagai masakan berasaskan kerang dan kupang.

“Tapi apabila berlaku kejadian kupang beracun, restoran saya kosong, semua pelanggan batalkan tempahan dan tidak berani hendak datang ke restoran. Walaupun saya ada menjual menu makanan laut selain kupang dan kerang, pelanggan tetap tidak datang kerana bimbang keracunan,” katanya, yang turut menjual kupang dan kerang segar. 

Encik Saad Talib, 63 tahun, yang sudah puluhan tahun menjalankan penternakan kupang dan kerang, tetap bersyukur kerana kejadian itu memberi hikmah buat lebih 80 penternak kupang dan kerang tidak berdaftar.

“Penternakan ini kami jalankan secara persendirian. Jadi apabila berlaku kejadian seperti ini, agak sukar untuk kerajaan beri bantuan.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana insiden ini, kami kini menjadi penternak kupang dan kerang berdaftar. Jadi, sekiranya ada kejadian seumpamanya lagi, lebih mudah untuk kerajaan bantu,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg