KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan pelakon, Nadia Kesuma yang dilapor hilang di Arab Saudi sebelum ini, dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia berdasarkan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Arab Saudi, selepas pencarian dilakukan pelbagai pihak termasuk Konsular Malaysia di negara terbabit.
Sehubungan itu, katanya, laporan polis akan menyusul.
“Beliau (Nadia) pergi ke Arab Saudi dengan syarikat pengendali umrah dan rekod menunjukkan Nadia telah keluar dari lapangan terbang Jeddah di Arab Saudi.
“Laporan polis akan dibuat selepas 20 jam proses pencarian dilakukan dengan mengikut prosedur prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu pengamal media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 17 Januari.
Pelakon itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, pada 15 Januari.
Sebelum ini, suami kepada Nadia Kesuma telah merayu agar kerajaan segera memulakan usaha diplomatik dengan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.
Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57 tahun, berkata, kehilangan isterinya kini sudah masuk hari keempat dan masih menjadi misteri.
“Kalau menteri atau kerajaan terlibat, mungkin lebih baik. Mungkin lebih cepat. Kalau saya yang bercakap mungkin dua tiga hari, tapi kalau menteri hubungi rakan sejawatannya, dua tiga minit sahaja.
“Kita tahu masa adalah penting. Saya tidak mahu memikirkan perkara buruk,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bertam Putra, pada 17 Januari.
Menurutnya, anggota keluarga isterinya telah memfailkan laporan kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah, yang kini membimbing tindakan yang perlu diambil.
Katanya, beliau dinasihatkan untuk kekal di Malaysia dan tidak terbang ke Jeddah bagi mengelak sebarang gangguan terhadap siasatan, selain halangan bahasa, kerana tidak fasih berbahasa Arab.
Bagaimanapun, Dr Muhammad Kamarul menyatakan beliau sentiasa bersedia untuk ke Jeddah pada bila-bila masa jika diperlukan.
Katanya, isterinya seorang yang gemar melancong dan selalunya memaklumkan lokasinya kepada keluarga setiap kali tiba di sesebuah negara.
Bagaimanapun, kali ini, aktres itu tidak menjawab panggilan mahupun membalas mesej selepas dilaporkan tidak menaiki penerbangan seterusnya dari Jeddah.
“Saya fikir mungkin beliau terlepas penerbangan, kerana kadang-kadang orang boleh terlepas. Di dalam kereta api, beliau memberitahu saya beliau tidak boleh tidur, jadi saya fikir mungkin beliau mengantuk di tempat lain dan terlepas penerbangan.
“Kemudian saya menerima mesej daripada agensi pelancongan, memaklumkan beliau memang tiada dalam penerbangan. Perkara yang paling membimbangkan adalah apabila kami cuba menghubungi dan menghantar mesej kepadanya, tetapi tiada jawapan,” katanya.
Dr Muhammad Kamarul berkata, anaknya menggunakan aplikasi pengesan yang menunjukkan telefon Nadia masih berada di kawasan lapangan terbang, tetapi baterinya semakin lemah.
Nadia Kesuma menyertai rombongan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan bersama 21 peserta lain, bermula 14 hingga 28 Januari.
Aktres yang nama sebenarnya Nadia Kasumawati Abdul Karim itu dilaporkan hilang selepas tidak dapat dikesan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz semasa penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London pada 15 Januari.
Pada 16 Januari, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Encik Hafiz Nafiah berkata beliau telah memaklumkan secara peribadi kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai kehilangan itu supaya tindakan segera dapat diambil untuk mengesan aktres tersebut.
Terdahulu pada 17 Januari, Pegawai Komand Divisyen Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya M. Ravi telah mengesahkan menerima laporan itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata kehilangan itu telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan laporan polis telah dirujuk kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg