Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alam siber perangkap kanak-kanak M’sia jadi mangsa jenayah

Nov 18, 2025 | 4:47 PM
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kanan) melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan pada Majlis Pembukaan 2025 Asean ICT Forum On Child Online Protection dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara di Kuala Lumpur pada 18 November. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga dari kiri) dan Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) ke Malaysia, Encik Robert Gass (dua dari kanan).
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kanan) melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan pada Majlis Pembukaan 2025 Asean ICT Forum On Child Online Protection dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara di Kuala Lumpur pada 18 November. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga dari kiri) dan Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) ke Malaysia, Encik Robert Gass (dua dari kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi amaran mengenai bahaya alam siber yang dilihat sudah memperdaya ramai kanak-kanak serantau termasuk Malaysia dalam pelbagai jenayah, khususnya kesalahan seksual.

Datuk Ahmad Zahid berkata jaringan keselamatan dalam talian kini sedang berada pada tahap genting disebabkan kemunculan pelbagai teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

Beliau turut memberi ingatan, dunia digital sememangnya menawarkan peluang, tetapi turut membuka risiko yang berkembang lebih pantas daripada kemampuan untuk bertindak balas.

“Di seluruh rantau Asean, kita sedang melihat tanda-tanda amaran, antaranya Singapura, sebagai contoh, 74 peratus pengguna internet berusia 15 tahun ke atas dilapor berdepan dengan kandungan berbahaya dalam talian pada 2024.

“Di Malaysia pula, satu tinjauan menunjukkan bahawa sekitar 33 peratus anak muda menjadi mangsa buli siber.

“Ia bukan sekadar angka tetapi adalah isyarat bahawa jaringan keselamatan sedia ada kita sedang berada pada tahap genting kerana AI kini membolehkan pemangsa mencipta suara, pemalsuan wajah dan manipulasi identiti kanak-kanak. Ini dilakukan dari belakang skrin, tanpa perlu berada dalam bilik yang sama.

“Di Malaysia, realiti harian amat jelas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mencatatkan sekitar 9,000 aduan buli siber pada 2024, dengan purata 27 kes setiap hari,” katanya pada pelancaran Forum Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Asean 2025 mengenai Perlindungan Online Kanak-Kanak, di Kuala Lumpur, pada 18 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada majlis itu, Datuk Ahmad Zahid turut melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) sempena forum tersebut.

Datuk Ahmad Zahid turut menyatakan komitmen Malaysia dalam memperkukuh pendekatan seluruh kerajaan atau ‘whole-of-government‘ dalam melindungi kanak-kanak di ruang dalam talian.

Katanya ia akan dilaksanakan melalui kerjasama rentas sempadan, kerjasama rapat dengan industri teknologi sebagai rakan strategik, memperkasa keluarga, guru dan komuniti, serta membina keyakinan dan daya tahan digital dalam kalangan kanak-kanak.

“Usaha ini bukan saja bertujuan mengawal internet, tetapi memastikan kanak-kanak dapat meneroka, belajar dan meluahkan diri mereka dengan selamat dan penuh keyakinan,” katanya.

Tambah Datuk Ahmad Zahid, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) menjadi transformasi sistem perlindungan kanak-kanak Malaysia yang saling melengkapi dan akan menjadi dasar utama dalam memacu hala tuju negara untuk membentuk persekitaran yang selamat, inklusif, sejahtera dan menyokong perkembangan holistik kanak-kanak.

“Ia dirangka bagi menjawab cabaran semasa termasuk risiko keganasan, pengabaian, eksploitasi, kesihatan mental, jurang digital dan ancaman keselamatan dalam talian kanak-kanak.

“Malah turut menekankan mengenai keselamatan kanak-kanak dalam talian serta perlindungan terhadap ancaman siber melalui pendidikan literasi digital, kerjasama industri teknologi, dan penyelarasan undang-undang selaras dengan standard antarabangsa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg