“Saya dan beberapa rakan aktivis dari Eropah buat bantahan di penjara Israel kerana kami tidak diberikan air minum selama empat hari dan bertegas tidak mahu masuk ke sel jika mereka tidak beri kami air.
“Sehinggalah ketua mereka datang dan kata kalau kami tak balik ke sel dengan sukarela mereka akan gunakan kekerasan. Saya bertegas untuk tetap berdiri di situ kerana saya benar. Kemudian saya ditolak dan dihumban ke dalam sel penjara dengan kekerasan.
Demikian antara perkongsian pengalaman cemas ketika berada dalam tahanan Israel dialami Cik Farah Lee, sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin, baru-baru ini.
Cik Farah atau nama sebenarnya Nur Farahin Romli, 36 tahun, adalah antara 23 aktivis Malaysia yang menyertai lebih 500 delegasi sukarelawan dalam misi pelayaran GSF itu yang bermula awal September lalu.
Mereka ditahan tentera Israel secara tidak sah di perairan antarabangsa, ketika semakin menghampiri perairan Gaza pada 2 Oktober lalu.
Kongsi wanita lulusan Universiti of Leeds, Britain, itu beliau dikelilingi tentera Israel bersenjata yang bengis serta dikasari hanya kerana meminta keperluan asas seperti air dan tuala wanita ketika dalam tahanan.
“Saya dapat keberanian untuk pertahankan hak kami bagi mendapatkan kemudahan asas kemanusiaan iaitu air bersih. Saya tidak takut dengan mereka kerana saya tidak lakukan kesalahan dan berada di pihak benar.
“Saya pun tak tahu daripada mana saya dapat kekuatan dan keberanian untuk tenung mata setiap askar Israel di situ. Bantahan itu berlanjutan hampir sejam dan kami bertekak.
“Setiap tenungan saya tidak dibalas kerana walaupun mereka bersenjata dan punyai kelengkapan keselamatan, hakikatnya mereka takut kerana tahu mereka salah,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 10,000 hadirin Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 8 Oktober.
Cik Farah, dengan aktivis GSF Malaysia lain, sejurus disambut ribuan penyokong sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 7 Oktober, turut berkongsi bagaimana tentera Israel menafikan hak peserta wanita Islam untuk menutup aurat ketika dalam tahanan.
“Tudung kami dirampas, kami dihina di hadapan lelaki yang tidak dikenali dan terpaksa menggunakan baju-T putih yang diberi mereka untuk menutup rambut serta kepala bagi menjaga maruah kami sebagai wanita,” katanya.
Misi GSF disertai aktivis dari 44 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia di bawah panji Sumud Nusantara, yang ditahan tentera Israel, sebelum dibebaskan dengan bantuan pemerintah Turkey dan selamat tiba di Malaysia pada malam 7 Oktober.
Selain Cik Farah, antara 22 lagi delegasi Malaysia dalam GSF ialah penyanyi Cik Zizi Kirana; selebriti adik beradik, Datin Nur Heliza Helmi serta Cik Nur Hazwani; pelakon Cik Ardell Aryana; mantan wartawan, Encik Zainal Rashid Ahmad; pendakwah genit, Ustaz Muhammad Abdullah, dan Ustaz Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan.
Pelayaran GSF mencetus perhatian dunia apabila lebih 40 kapal yang belayar dari beberapa pelabuhan di Italy dan Sepanyol sejak awal September berdepan serangan tentera laut Israel di tengah perairan antarabangsa.
Serangan Israel itu menimbulkan kemarahan pemimpin dan masyarakat antarabangsa, berikutan GSF yang bertujuan mencabar sekatan Israel ke atas Gaza dengan membawa bersama bantuan makanan, minuman dan perubatan.
Seorang lagi aktivis, Cik Zizi Kirana, 40 tahun, berkongsi ujian dijemur di bawah terik mentari dengan tangan diikat selama beberapa jam ketika ditahan, tudung ditarik, tidak dibenarkan memakai stoking dan terpaksa berfikir kreatif untuk menutup aurat.
“Ketika di penjara, tentera Israel tarik dan rampas tudung kami. Jadi kami beramai-ramai jadikan baju-T yang mereka beri sebagai tudung. Tiga hari dua malam kami solat dengan baju-T itu sebagai tudung dan hanya menggunakan selimut sebagai penutup kaki,” katanya dalam satu temubual.
Perkongsian pengalaman Datin Heliza, 39 tahun, juga begitu mendebarkan, apabila beliau dipaksa menanggalkan pakaian di hadapan lelaki, namun beliau berkeras dan kekal melawan.
“Ketika hendak keluar penjara, saya orang pertama yang dipanggil. Saya disuruh buka baju di hadapan ajnabi (bukan mahram), tetapi saya melawan. Apa yang saya nak beritahu, orang Israel tak akan berani dengan kita selagi mana Allah lindungi kita.
“Sejujurnya Israel takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka bersenjata, tetapi kami sehelai sepinggang. Mereka siap bawa anjing, acu senapang di dahi kami, tetapi setiap dari kami yang ada dalam jel itu tidak sedikit pun takut dan terus melaungkan Free Palestine,” katanya.
Cik Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, 35 tahun, pula bukan saja menjadi mangsa buli fizikal ketika dalam tahanan, malah lebih menakutkan askar Israel turut mengugut untuk membunuh anak-anaknya jika beliau enggan memberi kerjasama semasa proses penahanan.
Insiden itu menyebabkan Cik Ardell Aryana yang dilaporkan pernah menghidap barah, mengalami kecederaan apabila tisu bahu koyak, selain muntah-muntah dan tekanan darah rendah, sehingga terpaksa dirawat di Hospital Istanbul, selepas delegasi Malaysia dibebaskan daripada penjara Israel dan dipindahkan ke Turkey.
Beliau turut kelihatan lemah sebaik tiba di KLIA dan rebah ketika dikerumuni penyokong ketika menuju ke arah bas yang membawa mereka pulang.
Mantan wartawan, Encik Zainal Rashid, 58 tahun, pula menempuh pengalaman agak berbeza yang langsung tidak menyebabkan beliau gentar berdepan tentera Israel sejak kapal FairLady dinaiki ditahan.
“Bersama saya adalah aktivis dari Sepanyol dan Italy. Mereka ini diketahui sebagai orang yang sangat nekad memperjuangkan untuk Palestin dan punya keberanian luar biasa dan ditakuti Israel.
“Selepas kapal kami dipintas, tentera Israel mengarahkan kapal dihentikan, namun kapten dari Italy enggan mematuhi arahan dan terus memecut laju. Beliau hanya berhenti selepas seorang daripada anak kapal tumbang ketika Israel menyembur air bertekanan tinggi untuk mengugut kami,” katanya dalam satu temubual.
Encik Zainal Rashid yang aktif bersuara mengenai Palestin di media sosialnya sejak dua tahun lalu menambah, keberanian sukarelawan Italy dan Sepanyol itu tidak terhenti di laut.
“Di dalam penjara, aktivis Eropah itu terus menentang dengan cara mereka sendiri, melemparkan kata-kata yang memprovokasi pegawai penjara Israel dengan penuh keyakinan kerana tahu tentera Israel tidak akan berani menyentuh mereka.
“Mereka juga menjalankan mogok lapar. Apabila diberi jem strawberi untuk makan, mereka guna untuk tulis Free Palestine di dinding. Jadi kita tak rasa takut sebab dikelilingi orang berani,” katanya.
Malah menurutnya, aktivis Eropah itu turut enggan menandatangani dokumen pembebasan awal semata-mata kerana mahu naik mahkamah dan ‘menyerang’ hakim Israel.
“Ketika itu pegawai penjara Israel pujuk mereka untuk tandatangan borang mengaku salah untuk dibebaskan dalam tempoh 72 jam, tetapi mereka pilih untuk tidak mengaku salah dan mahu dibicarakan supaya dapat melawan hakim Israel secara berdepan,” katanya sambil menambah bahawa mereka hanya diberi makan sekali oleh tentera Israel dalam tempoh 36 jam ditahan.
Encik Zainal Rashid juga mengakui strategi membawa selebriti dan pempengaruh media sosial dalam misi GSF membuahkan hasil hebat, apabila tujuan misi itu untuk memecah sekatan Israel terhadap Gaza tersebar luas di seluruh dunia menerusi media sosial.
“Zizi Kirana, Ardell Aryana, Farah Lee dan The Helmi’s Sisters (Datin Nur Heliza dan Hazwani) menjadi pintu untuk menarik trafik masuk ke media sosial dan kami sebagai wartawan mengisi dengan kandungan mengenai misi GSF.
“Kita berjaya buka mata golongan muda lingkungan 20-an tahun untuk bercakap dan perjuangkan hak Palestin.
“Malah, penyedia platform media sosial juga gagal untuk senyapkan laporan mengenai Palestin dan menyekat kemaraan pejuang siber ini,” katanya sambil menambah dua media sosialnya berjaya mencatat 1 bilion capaian dalam tempoh misi.
Namun, walau getir ujian dan cabaran yang dilalui sukarelawan ini, semua mereka sepakat bahawa ia langsung tidak menjatuhkan semangat untuk terus berjuang menuntut pembebasan Palestin.
Malah, sebaik berita mengenai persetujuan gencatan senjata antara Hamas-Israel dilaporkan pada 8 Oktober, semua mereka bersedia untuk kembali ke Gaza, meneruskan misi bantuan dan kemanusiaan.
Sementara itu, Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed, menyifatkan misi kemanusiaan GSF sebagai satu manifestasi keteguhan dan solidariti masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan membebaskan Palestin daripada kekejaman Israel.
Menurut beliau, penyertaan aktivis antarabangsa terutama dari Eropah dengan pelbagai latar belakang dan agama termasuk Cik Greta Thurnbeg, adalah satu perkembangan penting yang menunjukkan perubahan sikap dunia terhadap isu Palestin.
“Sebelum ini pelbagai ketetapan dan kritikan terhadap Israel sering dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kesedaran dan tindakan nyata masih kurang terutama daripada negara yang menyokong Israel.
“Namun, apabila semakin ramai aktivis bukan Islam sanggup terlibat secara langsung dalam misi seperti flotila ini, dunia mula melihat dengan jelas kekejaman rejim Israel yang selama ini cuba disembunyikan,” katanya.
“GSF ini adalah satu manifestasi daripada usaha sebelum ini yang menunjukkan komitmen masyarakat antarabangsa. Ia bukan hanya melaungkan anti-Israel, tetapi menuntut supaya Israel menghentikan serangan dan Palestin diberi kebebasan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Mengulas mengenai kejayaan Malaysia menguruskan pembebasan 23 aktivis GSF yang ditahan tentera Israel, Profesor Dr Ahmad Marthada memuji kecekapan diplomasi kerajaan serta imej baik Malaysia di peringkat antarabangsa menyumbang kepada kelancaran proses rundingan pembebasan itu.
“Kita bersyukur kerana Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara dan ini memberi kelebihan kepada Malaysia. Hubungan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan pemimpin dunia termasuk negara Islam menjadikan usaha pembebasan ini diselesaikan dengan cepat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg