Minggu lalu Malaysia ‘panas’ dengan kisah titah adendum, atau perintah tambahan, yang dikaitkan dengan hukuman penjara yang sedang dijalani bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak.
Titah adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebelum ini, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membenarkan Encik Najib menghabiskan baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya sejak Ogos 2022, sebagai tahanan di rumah.
Di sebalik kontroversi titah adendum yang berlarutan kira-kira setahun, ramai yang masih tertanya-tanya apakah itu titah adendum yang sebelum ini tidak pernah didengari.
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, dalam konteks undang-undang adendeum bermaksud tambahan perkara dan syarat kepada dokumen, perjanjian dan sebagainya yang asal.
Dalam kes terkait titah adendum yang didakwa itu, ia dikatakan menyusuli keputusan utama mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah pada 29 Januari 2024, yang mengurniakan keringanan hukuman buat Encik Najib yang disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta ($12.6 juta) dana SRC International Sdn Bhd.
Encik Najib mendapat keringanan hukuman atau apa yang dipanggil sebagai lega hukum. Dengan itu hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya dipendekkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dikurangkan kepada RM50 juta.
Kelegaan Encik Najib mendapat lega hukum itu berganda apabila beliau dan peguamnya dimaklumkan mengenai titah adendum berkenaan.
Di sinilah polemik mula timbul apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, sebagai seorang anggota yang menyertai mesyuarat Lembaga Pengampunan ‘menafikan’ kewujudan titah adendum itu.
Dr Zaliha mendakwa tidak pernah melihat titah adendum yang dimaksudkan.
Seorang lagi Menteri yang terkait dengan isu kewujudan titah adendum ini ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menegaskan pihak Jabatan Penjara tidak menerima titah adendum terbabit, sebaliknya hanya dimaklumkan mengenai pengurangan hukuman penjara dan denda bagi Encik Najib.
Isu titah adendum ini juga menjadi modal politik buat segelintir pihak termasuk pembangkang, yang mendakwa kerajaan sebelum ini berdolak dalih dalam mengesahkan kewujudannya, selain menderhaka kepada Agong berikutan gagal melaksanakan perintah tambahan yang telah dititahkan.
Menurut pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, titah adendum menjadi ‘pembelajaran’ baru buat masyarakat terutama pengamal dan pemerhati undang-undang di Malaysia.
Menurutnya yang juga Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, titah adendum ini bukan perkara yang lazim berlaku dan seingat beliau ini adalah kali pertama kes seumpamanya berlaku.
Beliau berkata semua negara mengamalkan pelaksanaan pengampunan kepada banduan.
“Bagi negara yang mempunyai raja maka pengurniaan pengampunan akan dilakukan raja, tetapi mungkin caranya berbeza mengikut negara masing-masing.
“Di Malaysia, kita ada Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan dan Agong akan mengendalikan atau mempunyai kuasa prerogatif (hak istimewa yang diberikan kepada raja-raja untuk memberi ampunan kepada orang hukuman), selepas mendapat nasihat Lembaga Pengampunan.
“Tidak semestinya Agong bertindak atas nasihat tersebut, tetapi sebelum Agong membuat apa-apa keputusan, Agong hendaklah mendapatkan nasihat daripada Lembaga Pengampunan sebagaimana peruntukan Perkara 42 fasal 8 dan 9 Perlembagana Persekutuan.
“Bagi negara yang tidak mempunyai raja atau mengamalkan sistem presidential, kuasa pengampunan itu terletak pada presiden sebagai contoh di Singapura,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Datuk Shamrahayu berkata di Malaysia, Lembaga Pengampunan juga berada di negeri-negeri yang dipengerusikan raja atau sultan bagi negeri tersebut atau Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Berbeza dengan Lembaga Pengampunan di peringkat Persekutuan yang keanggotaannya merangkumi Peguam Negara atau wakilnya yang dilantik, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan selain tiga lagi yang boleh dilantik oleh Agong.
“Di peringkat negeri, keanggotaan Lembaga Pengampunan dipilih oleh raja atau sultan bagi negeri terbabit dengan syarat anggota itu bukan ahli Dewan Rakyat atau Ahli DUN (Adun),” katanya.
Jelas Datuk Shamrahayu, seseorang banduan itu boleh memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan, lega hukum atau tangguh hukum apabila dia dijatuhkan hukuman oleh mahkamah paling tinggi.
“Jadi dia boleh dengan segera membuat petisyen dan setelah menjalani tiga tahun hukuman pemenjaraan, dia boleh diberi pengampunan atau lega hukum.
“Selepas itu jika petisyen itu tidak diluluskan (Lembaga Pengampunan tidak memberi keputusan positif kepada petisyen yang difailkan itu), maka seorang banduan itu boleh memohon lagi setiap dua tahun.
“Ini adalah mengikut peruntukan di bawah Peraturan 113 iaitu Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.
Selain terma titah adendum yang perlu difahami, ramai juga masih tertanya-tanya tentang hukuman penjara yang diringankan kepada tahanan di rumah.
Mengulas perkara itu, peguam Datuk Shamsuddin Nawawi berkata banyak pihak beranggapan hukuman tahanan di rumah seolah-olah memberi keistimewaan dan keselesaan kepada banduan yang berjaya memperolehinya.
Sedangkan katanya hukuman tahanan rumah bukan dijalani di kediaman banduan terbabit, sebaliknya di satu lokasi dan bangunan yang ditentukan Jabatan Penjara.
Jelasnya, di Malaysia belum ada kes yang dibenarkan menjalani tahanan di rumah, tetapi ada peruntukan undang-undang yang mana sebuah rumah atau kediaman itu boleh diwartakan menjadi penjara di bawah Akta Penjara.
“Di bawah akta ini, Menteri Dalam Negeri yang mempunyai kuasa terhadap Jabatan Penjara boleh mewartakan sebuah rumah atau bangunan untuk dijadikan penjara. Banduan tidak boleh menentukan di mana dia mahu menjalani hukuman tahanan di rumah seperti di kediaman sendiri.
“Tanggapan bahawa banduan yang menjalani tahanan rumah boleh duduk bersekali dengan keluarga tidak betul. Banduan masih menjalani hukuman sebagaimana di penjara, dengan bangunan atau kediaman yang menjadi tempat tahanan rumah itu akan bertukar sifatnya seperti penjara.
“Banduan itu masih dikawal pegawai penjara dan termaktub pada peraturan seperti di penjara termasuklah kaedah menghantar makanan, mencuci pakaian dan sebagainya,” jelasnya kepada BM.
Datuk Shamsuddin mengatakan proses bagi Encik Najib mendapatkan tahanan rumah itu juga tidak mudah dan masih panjang mengikut prosedur mahkamah.
“13 Januari ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes. Walaupun keputusan majoriti 2-1 oleh tiga panel hakim di Mahkamah Rayuan Persekutuan pada 6 Januari memihak kepada Najib dan ‘mengesahkan’ kewujudan titah adendum bagi hukuman tahanan di rumah itu, tetapi beliau masih perlu membuktikan kewujudannya di Mahkamah Tinggi.
“Proses itu akan mengambil masa kerana selepas pendengaran kes, hakim akan menetapkan tarikh pendengaran. Selepas itu kalau Pejabat Peguam Negara (AGC) mahu merayu keputusan Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan ia akan berlarutan agak lama,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan situasi yang akan berlaku pada 13 Januari adalah AGC bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan bersetuju dengan permohonan mandamus (perintah yang dikeluarkan untuk memerintahkan sesuatu pihak melaksanakan perintah dalam titah adendum).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg