Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alat penukar nombor pendaftaran dijual dalam talian, polis M’sia beri amaran keras

Sep 16, 2025 | 3:55 PM
jenayah, M’sia, alat penukar nombor pendaftaran dijual dalam talian
Apabila dipasang pada kenderaan, nombor plat haram boleh disembunyikan atau ditukar kepada nombor plat lain serta-merta melalui alat kawalan jauh. - Foto THE STAR

PETALING JAYA: Satu alat canggih yang kini dijual secara terbuka di beberapa laman dagang dalam talian mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa Malaysia kerana ia mampu menyamarkan nombor pendaftaran kenderaan hanya dengan satu sentuhan butang.

Peranti yang dikenali sebagai penukar nombor pendaftaran atau number plate flipper itu membolehkan pemandu menukar atau menutup nombor asal kereta mereka melalui alat kawalan jauh.

Tinjauan mendapati sekurang-kurangnya tiga laman dagang popular menawarkan peranti ini pada harga antara RM150 ($35) dengan RM350, dengan lebih 10 penjual aktif mempromosikannya.

Produk yang kebanyakannya dibekalkan dari China itu hadir dalam dua bentuk; ada yang memutar nombor asal kepada nombor palsu, manakala ada yang menurunkan panel kosong bagi menutup terus nombor asal.

Rakaman demonstrasi dalam talian menunjukkan alat tersebut boleh dipasang kurang 10 minit, diperbuat daripada logam dan plastik, serta dikatakan tahan segala keadaan cuaca. Malah, ia turut dijual lengkap dengan kabel kuasa, unit kawalan dan penunjuk penggunaan.

Walaupun ada penjual mendakwa peranti ini berfungsi melindungi nombor kenderaan daripada kerosakan akibat cuaca, terdapat juga iklan yang secara terbuka menggalakkan penggunaannya bagi “mengelak saman kamera” serta memberikan “keselamatan dan privasi tambahan”.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, menegaskan penggunaan alat itu adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“Adalah satu kesalahan memaparkan nombor selain yang diluluskan atau mempamerkan nombor secara mengelirukan serta palsu di bawah Seksyen 108 akta berkenaan,” katanya lapor The Star.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kenderaan yang dikesan menggunakan alat ini akan disita serta-merta, manakala pemiliknya akan dikenakan tindakan mahkamah. Polis juga akan melaksanakan operasi khas bagi mengesan kenderaan yang dipasang peranti ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Digital berhubung penjualan peranti berkenaan di pasaran dalam talian.

Sementara itu, pakar jenayah, Datuk Seri A. Thaiveegan, menyifatkan penjualan alat tersebut amat berbahaya kerana boleh menjejas penguatkuasaan undang-undang lalu lintas serta menyukarkan pihak polis memburu penjenayah.

“Undang-undang berkaitan perlu dipinda agar pengimportan, pengeluaran tempatan, penyimpanan serta pemasangan alat ini diwartakan sebagai menyalahi undang-undang,” kata bekas Ketua Polis Negeri Pulau Pinang itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg