Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aliran bas lebih lancar di pintu masuk imigresen Johor

Ini hasil penyusunan lorong, pemantauan berterusan
Jun 18, 2025 | 2:53 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah), ketika melakukan tinjauan ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah), ketika melakukan tinjauan ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Kerajaan Johor sedang giat melaksanakan pelbagai penambahbaikan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), termasuk pengasingan lorong bagi pelbagai kategori bas dan pemasangan sistem teknologi terkini, demi meningkatkan kelancaran perjalanan serta keselesaan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah pengasingan lorong bagi bas ulang alik, bas kilang dan bas ekspres menunjukkan kesan positif apabila aliran bas menjadi lebih tersusun dan teratur.

“Bas ulang alik kini dapat membuat pusingan dengan lebih pantas dan menambah jumlah perjalanan harian, sekali gus membawa lebih ramai penumpang dalam tempoh yang singkat,” katanya Ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Tambahnya beliau juga secara peribadi telah menyaksikan sendiri kerja-kerja penambahbaikan yang dilakukan di CIQ BSI sepanjang minggu ini.

Beliau menjelaskan pengasingan lorong dilaksanakan dengan menyusun bas kilang dan bas ekspres di lorong kiri, manakala bas ulang alik diletakkan di lorong kanan, bagi memastikan tiada gangguan kepada bas awam yang berulang-alik ke Singapura.

“Bas kilang dan bas ekspres tidak dibenarkan berhenti lama di ruang bas untuk memberi laluan kepada bas lain masuk ke ruang yang sama. Jika dibiarkan, ia akan menyebabkan kesesakan di laluan masuk ke CIQ,” ujarnya.

Encik Mohamad Fazli berkata usaha turut ditumpukan kepada penyusunan penumpang mengikut servis bas yang digunakan seperti bas awam, kilang dan ekspres, bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan aliran penumpang lebih lancar.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengedarkan risalah pemakluman kepada pemandu bas melalui kerjasama pegawai imigresen di kaunter bagi memaklumkan tentang susun atur lorong yang ditetapkan.

Sementara itu, laluan motosikal di Zon C mencatatkan kepadatan lebih tinggi susulan penggunaan sistem pengecaman wajah MyBorderPass yang membolehkan penunggang melepasi imigresen tanpa perlu mengeluarkan pasport.

Sistem itu akan turut dipasang di Zon B menjelang Ogos ini, bagi melancarkan lagi urusan keluar masuk penunggang motosikal.

“Sebanyak tujuh mesin tambahan akan dipasang di lorong motosikal sebelum Ogos. Untuk laluan kereta pula, lima unit mesin imbasan kod QR akan diuji bermula Ogos di kedua-dua arah masuk dan keluar,” katanya.

Encik Mohamad Fazli turut memberi jaminan bahawa bilangan kaunter kenderaan akan berada pada tahap maksimum antara 4.30 pagi hingga 8.30 pagi bagi menampung keperluan waktu puncak, walaupun terdapat kaunter ditutup sementara bagi tujuan penyelenggaraan.

“Kita akan terus memantau keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan dan melakukan penambahbaikan secara berterusan demi memastikan CIQ BSI berfungsi dengan lebih cekap, teratur dan memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna harian,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg