ISKANDAR PUTERI (Johor): Pengguna jalan raya di Johor yang mengalami kemalangan atau kerosakan kenderaan akibat kerosakan jalan boleh mengemukakan tuntutan pampasan kepada pihak bertanggungjawab, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Bagaimanapun, katanya, pengguna perlu menyediakan bukti yang lengkap dan terperinci bagi menyokong tuntutan mereka.
“Sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan akibat jalan rosak, pengguna boleh buat tuntutan kepada pihak konsesi yang menyelia laluan tersebut.
“Antara langkah penting ialah mengambil gambar kemalangan dan kerosakan kenderaan, gambar kerosakan jalan, serta menyertakan butiran lokasi, waktu kejadian, laporan polis dan resit-resit berkaitan.
“Surat rasmi kemudian boleh dihantar kepada agensi terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada 26 Mei.
Beliau turut mendedahkan bahawa seorang pengguna jalan raya sebelum ini telah menerima pampasan berjumlah RM721,000 ($219,604) yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru susulan insiden kemalangan akibat kerosakan jalan, lapor Kosmo!.
Dalam perkembangan lain, Encik Mohamad Fazli juga memaklumkan Kerajaan Johor akan meneruskan komitmen dalam menangani isu kesesakan trafik di bandar raya Johor Bahru menerusi pelaksanaan projek naik taraf jalan persekutuan FT005, termasuk pembinaan cloverleaf dan flyover dari U-Turn ke Persimpangan Pulai Perdana.
Beliau berkata projek ini telah mendapat kelulusan kerja awalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bernilai RM42 juta, melibatkan kerja rekabentuk dan pengambilan tanah.
“Penambahbaikan sistem lalu lintas telah diambil kira bermula dari FT005 sehingga ke daerah Pontian, dan beberapa sesi lawatan bersama wakil cawangan jalan JKR dan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di tapak projek pada Oktober 2024.
“Kerja awalan ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025,” katanya.
Beliau berkata susulan kelulusan tersebut, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan baru menerusi RMK13 kepada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan keseluruhan projek dengan nilai keseluruhan RM458 juta.
Projek yang dicadangkan ini melibatkan naik taraf laluan dari Skudai ke simpang jalan Ulu Choh-Gelang Patah, termasuk pembinaan cloverleaf ke pintu masuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pelebaran jalan dari UTM ke Pulai Perdana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg