Amanah harap BN bekerjasama dengan PH hadapi PRN Melaka, Johor
Amanah harap BN bekerjasama dengan PH hadapi PRN Melaka, Johor
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) berharap Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Namun Pengarah Komunikasi Amanah, Encik Khalid Abd. Samad, berkata pihaknya bersedia menghadapi pertandingan dua atau tiga penjuru jika BN mengikuti ‘kegilaan’ Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
“Bagi Amanah, kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.
“Tapi pada masa sama Amanah akan gerak jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti ‘kegilaan’ Dr Akmal. Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar “statement of fact” atau menyatakan hakikat,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Februari.
Terdahulu, Encik Khalid berkata Amanah menghargai jawapan jelas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengenai rundingan kerusi PH-BN bagi PRN Melaka dan Johor.
Menurut beliau, Datuk Mohamad memaklumkan keputusan sama ada BN bersama PH atau bersendirian belum dibuat, manakala Dr. Muhamad Akmal lebih cenderung bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Bagaimanapun, katanya Amanah berharap kerjasama Kerajaan Perpaduan diteruskan demi negara, tetapi keputusan akhir terletak pada BN, lapor Kosmo!.
“Kami melihat kerjasama yang diasaskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan. Tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini.
“Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya kerana tiada unsur khianat atau paksaan, buli sepanjang kita bekerjasama,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, dilaporkan mencabar PH menamakan calon Menteri Besar Johor, susulan kesediaan parti itu, bertanding semua kerusi mengikut konsep ‘free for all’ (bebas untuk semua) pada PRN akan datang.
Encik Noor Azleen berkata rakyat Johor pastinya berminat untuk mengetahui ‘poster boy’ atau calon menteri datang daripada gabungan itu.
Pada PRN Johor 2022, menyaksikan BN menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH menang 12 kerusi diikuti Perikatan Nasional (3) dan satu oleh Muda.
Pada 2025, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya.

