Umno Johor dakwa Amanah ‘terlalu obses kerusi’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno Johor dakwa Amanah ‘terlalu obses kerusi’

Ingatkan jangan gugat kestabilan Johor
Jan 27, 2026 | 2:28 PM

Umno Johor dakwa Amanah ‘terlalu obses kerusi’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Amanah, Umno, Johor
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman. - Foto ihsan UMNO JOHOR

Umno Johor mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) lebih menumpukan tuntutan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) berbanding usaha memberi khidmat kepada rakyat, sekali gus berisiko menjejaskan kestabilan politik negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata kenyataan terbuka Pengarah Komunikasi Amanah, Encik Khalid Abdul Samad, berhubung tuntutan kerusi PRN Johor mencerminkan agenda sebenar parti itu yang didakwa terlalu obses terhadap kuasa dan jawatan.

Menurut beliau, isu tuntutan kerusi itu bukan perkara baru, sebaliknya telah berulang kali dibangkitkan sejak 2025 melalui saluran media, termasuk disertai ugutan pertandingan tiga penjuru.

“Politik seperti ini mencerminkan sikap sempit dan gilakan kuasa, yang akhirnya merugikan rakyat Johor. Skripnya sama, tuntut kerusi secara terbuka, tekan rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan kemudian mengugut pertandingan tiga penjuru,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Januari.

Beliau berkata pendirian pimpinan Amanah Johor, sebelum ini, yang menyatakan prinsip penyandang tidak terpakai di Johor serta rasa tidak puas hati kerana tiada wakil Pakatan Harapan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), membuktikan keutamaan parti itu lebih terarah kepada jawatan.

“Ini menunjukkan sejak awal lagi pendirian mereka berasaskan mengejar kedudukan, bukan mandat dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Datuk Abdul Halim menegaskan agihan kerusi PRN bukan ditentukan melalui desakan awam atau tekanan politik, sebaliknya merupakan keputusan kepimpinan tertinggi yang dibuat secara berhemah dan berpaksikan kepentingan rakyat Johor.

“Kerusi Dewan Undangan Negeri Johor bukan harta pusaka mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ia tidak wajar dijadikan bahan tawar-menawar politik secara terbuka, apatah lagi dengan ugutan yang boleh menjejas kestabilan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Barisan Nasional (BN) mentadbir Johor berdasarkan mandat jelas yang diberikan rakyat dalam PRN lalu, justeru keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan kestabilan politik dan kesinambungan dasar.

“Fokus kerajaan negeri ialah ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. Semua ini memerlukan kestabilan politik, bukan pertelingkahan dalaman mengenai pembahagian kerusi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan prestasi dan penerimaan rakyat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada perlu menjadi asas utama dalam sebarang pertimbangan politik.

“Rakyat Johor menilai wakil rakyat berdasarkan kerja di lapangan, keupayaan menyelesaikan masalah dan menjaga kebajikan kawasan, bukan berdasarkan tuntutan kerusi semata-mata,” katanya.

Beliau menyifatkan ugutan pertandingan tiga penjuru sebagai tindakan yang tidak mencerminkan kehendak rakyat.

“Rakyat mahukan kerajaan yang stabil dan fokus bekerja untuk mereka, bukan kerajaan yang sibuk dengan perebutan kuasa,” katanya.

Beliau menasihatkan Amanah supaya memberi tumpuan kepada khidmat kepada rakyat dan tidak menggugat kestabilan negeri demi kepentingan politik sempit.

“Kerajaan Johor sedang bekerja dan berusaha membela nasib rakyat. Jangan gugat kestabilan ini hanya kerana gilakan kerusi dan kuasa,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Encik Khalid dilaporkan memberi cadangan agar rundingan semula agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dan Johor sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, selaras dengan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg