Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dijangka mengetengahkan kira-kira 50 peratus calon muka baru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sebagai sebahagian usaha memperkukuh jentera dan menarik sokongan pengundi muda serta akar umbi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Encik Aminolhuda Hassan, berkata calon muka baru itu melibatkan golongan wanita, pemuda serta pimpinan dari pelbagai kawasan di negeri itu.

Menurut beliau, proses pemilihan calon sedang berjalan dan melalui beberapa peringkat termasuk cadangan daripada pimpinan kawasan, sayap parti serta peringkat negeri sebelum dimuktamadkan kepimpinan nasional.

“Dari Amanah Johor, cadangan kita adalah untuk memperkenalkan 50 peratus muka baru; muka baru ini adalah mereka yang baru pertama kali bertanding tetapi mempunyai kekuatan untuk menjadi pemimpin masyarakat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Dalam perkembangan sama, Encik Aminolhuda berkata PH Johor sudah lama membuat persiapan menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru pada PRN akan datang selepas mendakwa tiada maklum balas positif diterima daripada Barisan Nasional (BN) Johor berhubung rundingan kerjasama politik.

“Tadi sebenarnya dalam PH, kami dah lama meminta pihak BN Johor untuk mengadakan perundingan walaupun bermula setahun yang lepas.

“Tetapi tidak ada sebarang respons positif daripada mereka. Lantas itu PH telah membuat persiapan untuk ‘senario terburuk’ iaitu tiga penjuru,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa rundingan kerusi PH Johor juga sudah mengadakan tiga kali pertemuan dengan kira-kira 50 hingga 60 peratus pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai setakat ini.

Menurut beliau, rundingan penuh dijangka dimuktamadkan menjelang Jun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai merangkap Naib Pengerusi Amanah Johor, Encik Suhaizan Kaiat, berkata PH sudah memberikan ‘peluang terakhir’ kepada BN untuk meneruskan rundingan kerjasama politik di Johor.

Beliau berkata PH sebelum ini pernah mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan Johor seperti model di Melaka namun cadangan itu ditolak pimpinan BN Johor.

“Johor dan Melaka mempunyai model yang sama kerana pilihan raya diadakan lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan Persekutuan dibentuk.

“Malangnya cadangan tersebut telah ditolak pimpinan BN Johor yang memilih menutup ruang persefahaman politik demi kepentingan sempit mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media pada 18 Mei.