JOHOR BAHRU: Parti Amanah bakal menampilkan 13 muka baru daripada 19 calon yang akan bertanding, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata hanya enam atau tujuh calon adalah bekas calon pada PRN sebelum ini, manakala selebihnya adalah calon baru.

“Daripada muka baru ini, separuh daripadanya adalah orang muda, manakala calon wanita ada dua orang.

“Kebanyakan calon berkenaan adalah anak tempatan,” katanya, ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor (Zon Selatan) di Taman Universiti, di Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 19 Jun.

Turut hadir Pengerusi Amanah Johor, Encik Aminolhuda Hassan; Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Encik Dzulkefly Ahmad; dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Encik Suhaizan Kaiat, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Mohamad Sabu berkata parti itu menyasarkan enam kerusi di bahagian utara Johor, dan empat atau lima kerusi di sebelah pantai timur negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menerima calon yang akan diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 Jun.

Katanya, semua pihak dalam parti komponen PH perlu bersatu hati dan memberi sokongan penuh bagi memastikan kemenangan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi.

“Ada yang mengatakan parti ini paling layak bertanding di sini, ada parti ini lebih layak bertanding di situ dalam Pakatan Harapan ini.

“Tetapi bila keputusan sudah dibuat, diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (Datuk Anwar) pada 22 Jun nanti, maka kita Pakatan Harapan akan pergi sebagai satu pasukan,” katanya.

Datuk Mohamad Sabu berkata sama ada Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Tindakan Demokratik (DAP), semua parti komponen itu harus membantu calon yang dipilih kelak, meskipun bukan daripada calon komponen mereka sendiri.

“Jangan ada di antara kita, biar orang kita menang, biar orang kita itu kalah.

“Kalau kita ada niat begitu, hilang satu dua kerusi (dan) tak berpeluang kita ke Kota Iskandar pada 12 Julai nanti.

“Ini yang perlu ada sikap kita.

“Perbezaan-perbezaan itu akan berlaku tapi kita tamatkan dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi nanti,” katanya.

Terdahulu, pihak media melaporkan berlaku ‘perselisihan faham’ apabila Amanah memaklumkan parti itu mahu mengambil semula kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada Muda di DUN Puteri Wangsa, berikutan tiada lagi kerjasama parti itu dengan PH.

Bagaimanapun, Naib Ketua PKR Johor, Encik Jimmy Puah, berkata partinya yang akan mewakili PH di DUN Puteri Wangsa.

Pada PRN tersebut, Muda menang di DUN Puteri Wangsa menerusi Cik Amira Aisya Abd Aziz, dengan majoriti 7,114 undi.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.