Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerpecahan PN dijangka warnai Sidang Dewan Rakyat
Perpecahan PN dijangka warnai Sidang Dewan Rakyat
Sidang yang bermula 22 Jun bakal beri petunjuk keberkesanan pembangkang main peranan semak dan imbang terhadap kerajaan
Perpecahan PN dijangka warnai Sidang Dewan Rakyat
Dewan Rakyat yang akan memulakan mesyuarat keduanya pada 22 Jun ini dijangka menarik lebih tumpuan apabila perhatian bukan sahaja terarah kepada agenda kerajaan, malah turut melibatkan kestabilan dan kesepaduan blok pembangkang menyusuli ‘perceraian’ Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dua parti komponen utama dalam Perikatan Nasional (PN) itu kini bergerak ke arah berbeza selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, berikutan beberapa perbezaan pendirian dan pendekatan yang gagal mencapai kata sepakat.
PAS kemudian membentuk kerjasama baharu dengan Gerakan Reset dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang diterajui mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketika pertikaian dengan Bersatu dalam menentukan penguasaan PN berterusan.
Penganalisis Politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata persidangan selama 16 hari sehingga 16 Julai itu berpotensi menjadi antara sidang Parlimen paling mencabar buat PN kerana bukan sahaja perlu menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan, tetapi pada masa sama berdepan ketidaktentuan dalam gabungan sendiri.
Katanya, perkembangan terkini dalam PN selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu berkemungkinan mewarnai perjalanan sidang sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Perhatian akan tertumpu kepada bentuk kerjasama sebenar antara Ahli Parlimen (AP) PAS dan Bersatu, khususnya dalam isu-isu yang memerlukan pendirian bersama.
“Sidang ini juga boleh menjadi pentas untuk mengukur sama ada keretakan politik yang berlaku hanya membabitkan kepimpinan atau sudah menjejaskan koordinasi di peringkat Parlimen,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya itu kepada Berita Harian (BH).
Dr Mohammad Tawfiq berkata, pertikaian berterusan antara PAS dengan Bersatu juga berpotensi menjejaskan keberkesanan pembangkang dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Katanya, secara teorinya blok pembangkang yang berpecah akan berdepan kesukaran untuk menyelaraskan mesej politik serta strategi perbahasan.
“Namun, kesannya bergantung kepada tahap konflik yang berlaku. Jika kedua-dua parti masih mampu membezakan antara persaingan politik dalaman dengan tanggungjawab institusi di Parlimen, fungsi semak dan imbang masih boleh dilaksanakan dengan berkesan.
“Tetapi jika pertikaian terus memuncak, fokus boleh beralih daripada isu rakyat kepada mempertahankan kepentingan parti masing-masing,” katanya.
Beliau turut berpandangan sidang kali ini bakal menjadi petunjuk penting terhadap masa depan hubungan PAS dan Bersatu, termasuk sama ada kedua-dua pihak masih mampu bekerjasama dalam isu tertentu atau sebaliknya.
Menariknya, sidang kali ini akan menyaksikan Datuk Hamzah kembali menggalas peranan sebagai Ketua Pembangkang.
Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketika merasmikan Konvensyen Reset dan parti Wawasan di Tanah Merah, Kelantan, pada 13 Jun lalu.
Malah, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 18 Jun juga mengesahkan PN sudah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bagi memaklumkan bahawa 61 AP pembangkang bersetuju melantik Datuk Hamzah sebagai ketua pembangkang yang baru.
Sejak awal Datuk Hamzah memang mendapat sokongan majoriti AP pembangkang untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang selepas dipecat Bersatu, namun ia dibantah parti itu.
PN kemudian melantik Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS sebagai Ketua Pembangkang pada Mei lalu, namun beliau melepaskan jawatan itu pada 10 Jun untuk memberi laluan kepada Datuk Hamzah.
Perpecahan dalam Bersatu menyaksikan 15 AP parti itu yang cenderung menyokong Datuk Hamzah dipecat dan digantung keahlian sehingga Mei lalu.
Ia menjadikan Bersatu yang dipimpin Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini hanya bergantung kepada enam AP yang masih menyatakan sokongan kepada beliau, termasuk AP Putrajaya yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Jidin.
Untuk itu Dr Mohammad Tawfiq melihat kedudukan Datuk Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan pada masa yang sama menerajui platform politik baru, berpotensi mewujudkan dinamik yang berbeza berbanding sebelum ini.
“Beliau kini bukan sahaja perlu mengurus peranan institusi sebagai Ketua Pembangkang, tetapi juga membina kekuatan politik baru.
“Ini boleh memperkukuhkan pengaruh beliau jika mendapat sokongan yang mencukupi, namun pada masa yang sama boleh mencetuskan persaingan baru dalam kalangan parti-parti pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, Dr Mohammad Tawfiq turut mengingatkan semua AP supaya tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan memperpanjangkan polemik politik sempit.
“Rakyat masih berdepan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan pertumbuhan ekonomi, perbahasan yang matang serta berasaskan dasar perlu diberikan keutamaan berbanding konflik politik kepartian,” katanya.
Pemerhati politik yang juga pakar Perlembagaan, Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, pula berkata sidang Dewan Rakyat kali ini dijangka menyaksikan peralihan politik signifikan susulan penamatan kerjasama antara PAS dengan Bersatu, yang kini dilihat bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan dalam blok pembangkang, malah berpotensi membawa kepada situasi kebuntuan politik di Parlimen.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), itu berkata persidangan kali ini merupakan ujian paling getir kepada pembangkang pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menghampiri.
Menurut beliau, dari sudut perundangan dan amalan Parlimen, kedudukan AP pembangkang kini berada dalam keadaan yang kompleks apabila wujud jurang antara status de jure dan de facto.
“Secara de jure (dari segi undang-undang), mereka masih kekal sebagai AP PN berdasarkan tiket pilihan raya. Namun secara de facto (pada realitinya), telah berlaku pemisahan politik yang jelas susulan perkembangan hubungan antara PAS dengan Bersatu,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu berpotensi diterjemahkan secara fizikal di Dewan Rakyat menerusi perubahan susunan tempat duduk, bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat, khususnya sekiranya terdapat rombakan dalam blok politik atau pengesahan perubahan kedudukan parti.
Berdasarkan semakan di laman web Parlimen Malaysia pada 19 Jun, susunan tempat duduk AP pembangkang di Dewan Rakyat sudah berubah, dengan kedudukan paling kanan di barisan pertama menempatkan Datuk Hamzah yang juga AP Larut sebagai Ketua Pembangkang.
Datuk Dr Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN duduk bersebelahan beliau, diikuti Tan Sri Abdul Hadi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta AP Beluran yang digantung keahlian Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Tan Sri Muhyiddin pula ditempatkan sebaris dengan AP tanpa jawatan utama politik, berselang dua blok tempat duduk daripada pemimpin PN.
Dengan perkembangan itu, Dr Ikmal Hisham berkata dinamika tersebut menjadi lebih kompleks dengan kemunculan semula pengaruh politik Datuk Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, yang dilihat membentuk satu poros (paksi) kuasa baharu dalam kalangan blok pembangkang.
Mengulas kesan perpecahan PAS-Bersatu, Dr Ikmal berkata implikasi paling ketara adalah kelemahan fungsi semak dan imbang di Parlimen apabila kesepaduan strategi pembangkang mula terhakis.
“Apabila ‘rantaian arahan’ dalam pembangkang terputus, keupayaan mereka untuk menyelaraskan strategi perbahasan dan undian blok akan menjadi lebih lemah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sidang Parlimen kali ini tidak wajar dijadikan medan politiking yang berlebihan kerana ia boleh mengalih perhatian daripada agenda rakyat.
Katanya, antara isu utama yang wajar diberi tumpuan termasuk reformasi institusi, cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri dua penggal, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta isu kos sara hidup dan pelaksanaan subsidi bersasar.
“Sidang ini akan menjadi penentu sama ada pembangkang mampu mengekalkan kematangan politik demi kepentingan awam, atau sebaliknya terus terperangkap dalam retorik politik yang semakin berpecah,” katanya.
