Topik diikuti
Pergi ke BHkuPH belum putuskan calon Menteri Besar Johor
PH belum putuskan calon Menteri Besar Johor
Tumpuan utama kini untuk menangkan calon terlebih dahulu
PH belum putuskan calon Menteri Besar Johor
JOHOR BAHRU: Calon bakal Menteri Besar Johor daripada Pakatan Harapan (PH), jika menang di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akan dibincangkan di peringkat majlis tertinggi gabungan itu nanti.
Timbalan Pengerusi PH, Encik Anthony Loke, berkata tumpuan utama pihaknya ketika ini adalah untuk memenangkan calon-calon gabungan itu terlebih dahulu.
“Oleh itu, soal Menteri Besar Johor akan dibincangkan di peringkat tertinggi PH, jadi setakat ini belum ada apa-apa pengumuman lagi,” katanya.
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon N.42 Johor Jaya dan N.40 Tiram di Pusat Komuniti Harapan, Plentong pada 20 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam majlis itu, Cik Nor Zulaila Abd Ghani, 38 tahun, dan Cik Lee Wern Yiing, 30 tahun, diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Tiram.
Turut hadir sama semasa majlis tersebut adalah Pengerusi DAP Johor, Cik Teo Nie Ching dan Timbalannya, Cik Wong Shu Qi.
Terdahulu, beliau ditanya siapa ‘poster boy’ (wajah utama) dan calon Menteri Besar Johor daripada PH sekiranya menang PRN Johor.
“Bagi DAP setiap kawasan yang mereka tandingi akan ada ‘poster boy’ atau ‘poster girl’ berdasarkan calon-calon parti itu yang bertanding.
“Sasaran DAP adalah untuk menang dan mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini, termasuk Ulu Tiram,” katanya.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memperoleh satu kerusi.
